GEORGE TOWN – Peniaga makanan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula waktu operasi perniagaan bermula jam 8 pagi yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Gesaan itu dilontarkan rata-rata peniaga dan penjaja kecil di Astaka Taman Tun Sardon, Gelugor di sini susulan waktu operasi baharu itu dikatakan agak lambat untuk orang ramai membeli sarapan pagi.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Penjaja dan Peniaga Pasar Awam Taman Tun Sardon, Abdul Rahim Omar, 64, berkata, aktiviti peniagaan makanan di kawasan itu bermula jam 6 pagi sejak tahun 1990-an dan tindakan kerajaan mengumumkan waktu operasi baharu boleh menjejaskan pendapatan peniaga setempat.
Jelasnya, penduduk serta pekerja kilang sudah biasa mengunjungi astaka tersebut bagi membeli sarapan untuk ke tempat kerja iaitu sebelum jam 8 pagi.
“Kita faham kerajaan mahu mengekang penularan wabak Covid-19, sama juga dengan kami sebagai peniaga tak mahu penyakit ini berpanjangan kerana ia menjejaskan pendapatan serta kehidupan semua pihak.
“Tindakan kerajaan membenarkan perniagaan bermula jam 8 pagi itu agak sukar buat peniaga kecil seperti kami kerana waktu itu rata-rata pelanggan yang mengunjungi astaka ini sudah mula masuk kerja.
“Jadi kita minta kerajaan mempertimbangkan semula waktu perniagaan dengan membenarkan pengoperasian lebih awal,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Sementara itu, penjual makanan, Azmee Marzookhy, 56, berkata, pelaksanaan waktu operasi baharu akan memberi pelbagai kesan termasuk kehilangan sumber pendapatan ketara buat dirinya dan isteri.
“Pelaksanaan PKP terdahulu sudah memberi pelbagai kesan dalam perniagaan yang kami dijalankan sejak 30 tahun.
“Kami tak tahu sama ada pelanggan akan datang atau sekadar buka gerai saja kerana pengunjung astaka ini terdiri daripada pekerja daripada pelbagai bidang yang selalunya datang awal pagi untuk mendapatkan bekalan makanan,” ujar Azmee.
Menurut peniaga kuih tradisional, G.Nageswary, 60, dia dan kakaknya hanya bergantung kepada pelanggan tetap yang mengunjungi astaka tersebut untuk membeli sarapan pagi.
“Selalunya jam 8 pagi sudah tidak ramai pelanggan di sini kecuali Sabtu Ahad.
“Saya tidak dapat bayangkan nasib kami dua buah keluarga yang hanya bergantung penuh dengan hasil pendapatan jualan kuih tradisional.
“Kami juga sudah berumur dan tidak tahu cara untuk menjual secara online dan terpaksa bergantung dengan pelanggan tetap saja,” jelas Nageswary.
Garry, 50, yang turut meluahkan pandangan yang sama berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan peniaga kecil untuk memastikan golongan ini tidak terus terkesan akibat pelaksanaan PKP.
“Kita tahu kerajaan buat semua kebaikan untuk rakyat tapi kalau waktu operasi begini semestinya akan memberi kesan yang mendalam kepada kami,” katanya yang menjual mee goreng di astaka terbabit.
Pada Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.
Jelas beliau, peraturan itu akan berkuat kuasa di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 25 Mei ini. – MalaysiaGazette
Kerajaan hanya mahu untuk 2 minggu sahaja penguatkuasaan,tolonglah peniaga bagi kerjasama.