Mangsa dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan susulan kemalangan dua LRT dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung di Stesen LRT KLCC, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pasukan bomba dan polis sedang melakukan kerja-kerja menyelamat penumpang-penumpang  LRT yang cedera selepas tren yang membawa mereka brek secara mengejut berhampiran stesen KLCC.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Media yang tidak dibenarkan berada berhampiran kawasan kejadian hanya menyaksikan dari jauh sahaja.

Setakat berita ini ditulis, kelihatan beberapa penumpang diusung keluar.

Siren ambulans juga kedengaran di sini.

Seluruh jalan raya di KLCC ini telah dihalang oleh polis bagi semua kenderaan.

Seorang penumpang yang ditemui MalaysiaGazette berkata, sewaktu tren bergerak keadaan normal sahaja.

”Saya tak pasti apa yang berlaku..tren brek secara mengejut atas landasan..

”Waktu tu dalam tren penuh dengan penumpang menyebabkan ramai terjatuh di dalam gerabak menyebabkn ramai cedera dan ada patah kaki,” cerita penumpang wanita  tentang detik cemas

Beliau yang tidak sempat berkongsi namanya berkata, beliau masih panik dan trauma dengan insiden tanpa jangka itu.

Beliau kemudian mengikuti seorang lagi wanita warga emas berbaju kurung yang dibawa oleh anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam menaiki jentera ambulans untuk ke hospital.

Prasarana setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan terperinci mengenai kejadian itu.

Syarikat pengangkutan itu hanya memaklumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sedang berhadapan dengan satu insiden yang melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

”Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.

”Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” menurut kenyataan pendek syarikat tersebut.

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapannya berkata, laporan awal dimaklumkan tren bawa penumpang dan dan tren kosong (tren 40 dan tren 81) berlanggar menyebabkan penumpang tercampak dan jatuh.

Tren berkenaa dari stesen Ampang.

Katanya, kejadian itu berlaku di laluan bawah tanah KLCC.

Tiada kematian dilaporkan tetapi ada penumpang yang cedera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast