RS Thanenthiran

KUALA LUMPUR – Sungguh tidak boleh dipercayai ketika pandemik Covid-19 sedang ‘menggila’ dan rakyat dalam ketakutan, ahli politik seperti Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang masih lagi sempat mencari ‘publisiti murahan’.

Itupun dengan cara paling menjengkelkan apabila cuba melaga-lagakan dan memperkecilkan parti-parti berteraskan masyarakat India di negara ini, selain daripada menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan kaum minoriti itu.

Itu luahan Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran apabila Ramasamy mengeluarkan kenyataan melabel parti seperti Makkal Sakti, IPF, Kimma, MUIP sebagai parti nyamuk yang tidak mempunyai sokongan.

“Saya terkilan dengan sikap Ramasamy ini apabila melabel kami sebagai nyamuk, sebenarnya tidak ada hujan atau ribut tiba-tiba sahaja keluar kenyataan tentang sokongan masyarakat India terhadap parti-parti India terutamanya yang bersama Barisan Nasional.

“Perlukah anda yang kononnya berjawatan tinggi, dihormati oleh rakyat sesuka hati keluar kenyataan macam kanak-kanak kecil? Lagi-lagi ketika pandemik, bukankah lebih baik jika ianya berkait dengan rakyat, kurangkan bebanan mereka terutamanya di Pulau Pinang itu sendiri?

“Tiba-tiba tuding jari, cakap bukan-bukan kononnya dengan percubaan memperkecilkan akar umbi parti seperti kami anda sudah dapat publisiti? Ramai akan bertepuk tangan dan mengatakan anda seorang ahli politik? Adakah begitu?

“Cukup-cukuplah Ramasamy, banyak lagi yang anda kena buat, fokus pada itu dulu ramai lagi masyarakat India di Pulau Pinang dan dalam kalangan DAP perlukan bantuan kamu, buat itu dulu. Tidak perlu berpolitik sangat, malu sangat.

“Kalau parti kamu sendiri sungguh hebat dan mendapat sokongan tidak berbelah bahagi tidak apa juga, ini parti sendiri berdepan dengan pelbagai isu termasuklah pemilihan parti macam-macam tuduhan dan dakwaan jadi sudah-sudahlah ya,” katanya hari ini.

Dr. P. Ramasamy

Semalam tulis Ramasamy di Facebook beliau, penyertaan parti India yang lebih kecil seperti IPF, Makkal Sakthi, MIUP dan Kimma ke dalam BN tidak akan memberi kesan yang ketara.

“Jika MIC sekali pun tidak mendapat sokongan orang India, apa yang dapat kita harapkan dari parti India yang kecil atau parti nyamuk. Parti politik India yang kecil seperti ini menunggu terlalu lama di luar untuk diterima dalam gabungan BN.

“Sebenarnya, MIC bertanggungjawab tidak membenarkan parti-parti politik ini berada dalam BN,” tulis Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Perai itu.

Kata Thanenthiran, DAP sebenarnya tidak pernah berubah dalam  mendapatkan sokongan umum dengan cara melemparkan fitnah serta fakta berapi-api sehingga umum menjadi marah.

“Itu sahaja cara mereka dapat sokongan terutamanya ketika pilihan raya, kerja mereka tidak buat tetapi mahu undi rakyat dengan cara melempar-lempar fitnah dan timbulkan rasa benci sana sini.

“Begitu panjang berjela beliau berikan pandangan kononnya masyarakat India tidak menyokong parti-parti pro BN malah sokongan juga berkurangan, fitnah tidak habis-habis.

“Saya beri contoh bagaimana bekas Menteri PH yang akhirnya tumbang, M Kulasegaran bercerita kononnya tentang kad pengenalan merah dimiliki oleh kaum India masa PRU-14, lepas menang terus diam dan menafikannya, ingat lagi?

“Bila PH berkuasa sampai ada 4 Menteri India, apa pula yang masyarakat India dapat? Perjuangan kononnya untuk masyarakat India lenyap begitu sahaja, isu-isu yang selama ini mereka perjuangkan terus dipandang sepi, lupakah Ramasamy? Rakyat tidak lupa.

“Kebanyakan pemimpin India dalam DAP banyak tampil diri membela dinasti Lim dan hakikat juga disedari oleh semua, jika tidak percaya tunggulah PRU nanti, jangan pandai bercakap tentang sokongan atau perjuangan jika kamu sendiri tidak betul, cermin diri itu sikit,” tegasnya.

Tegas Thanenthiran lagi, DAP sendiri sebenarnya berdepan dengan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Indianya sendiri namun tidak pula Ramasamy membuka mulut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast