KUALA LUMPUR – Tiada pertambahan Sekatan Jalan Raya (SJR) polis di ibu negara susulan pengumuman terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang lebih diperketatkan bermula esok di seluruh negara.
Namun, Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan memperketatkan lagi SOP pemeriksaan di setiap 13 sekatan jalan raya yang telah didirikan di ibu negara termasuk di Putrajaya sejak 7 Mei lalu.
“Setakat ini, jumlah SJR kekal di sembilan lokasi di Kuala Lumpur dan empat lokasi di Pusat Pentadbiran Putrajaya.
“Tetapi, kami akan melakukan pemeriksaan lebih tegas dan teliti di setiap SJR berkenaan selaras dengan arahan baru memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP.
“Sebelum ini, kami (polis) ada memberi kelonggaran sedikit dengan pemeriksaan yang tidak begitu ketat tetapi mulai malam ini pemeriksaan akan dilakukan dengan teliti termasuk memastikan individu yang merentas negeri mempunyai surat kebenaran yang sahih,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah Azmi, pada masa ini terdapat dua lokasi di ibu negara yang telah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini, iaitu Kampung Batu Muda Tambahan dan Lembah Pantai.
Menurut beliau, polis berperanan dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguruskan penduduk di kawasan berkenaan termasuk dalam urusan kebajikan iaitu pengagihan bekalan makanan sepanjang tempoh itu.
“Kami berharap warga Kuala Lumpur mengambil berat terhadap pematuhan SOP supaya tiada lagi kawasan dalam Kuala Lumpur dikenakan PKPD selepas ini.- MalaysiaGazette