Dr Rafidah Abdullah.

KUALA LUMPUTR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan status yang dimuat naik Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah yang mendakwa pihak media tidak memainkan peranan untuk menulis kebaikan vaksin kepada rakyat tidak mewakili pihaknya.

KKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan memanggil Dr Rafidah bagi mendapatkan penjelasan lanjut bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

“Kenyataan Dr Rafidah bukanlah kenyataan rasmi KKM. Pihak KKM akan memanggil Dr Rafidah untuk mendapatkan penjelasan lanjut bagi memastikan perkara sebegìni tidak berulang lagi.

“KKM sangat menghargai peranan media yang banyak membantu kementerian menangani wabak pandemik Covid-19. Sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Rafidah memuat naik status di Twitter miliknya yang meminta media menunjukkan kebaikan vaksin kepada rakyat.

“Media mana? Tolong tunjukkan kebaikan vaksin kepada rakyat. Tak payahlah cerita artis langgar SOP (prosedur operasi standard).

“Pedulikan mereka ini. Gantikanlah program tidak berilmiah dengan yang boleh mempengaruhi minda masyarakat kita ke arah membuat keputusan yang lebih betul. Lebihkan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Bagaimanapun, di Twitter terdapat beberapa individu berkongsi pelbagai artikel berkaitan kebaikan vaksin yang ditulis pengamal media bagi menjawab soalan diajukan Dr Rafidah. – MalaysiaGazette