MELAKA – Dakwaan bahawa satu keluarga meninggal dunia akibat pandemik COVID-19 di sebuah rumah di Taman Merdeka di sini seperti yang tular di media sosial hari ini adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata setakat petang tadi, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu yang didakwa berlaku di lokasi tersebut.
“Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung kes kematian akibat COVID-19 seperti yang didakwa dan ditularkan di media sosial.
Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu sehingga menimbulkan kegusaran atau panik kepada orang ramai kerana perbuatan tersebut adalah satu kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya didapati bersalah.
Hari ini tular di WhatsApp dan Facebook gambar serta video berdurasi 20 saat yang memaparkan beberapa petugas dipercayai anggota kesihatan lengkap berpakaian pelindung diri (PPE) mengusung mayat ke dalam sebuah trak polis.
— BERNAMA