KUALA LUMPUR – Berita baik buat umat Islam apabila berpeluang untuk menyemak arah kiblat ketika fenomena Istiwa A’dzam yang bakal berlaku pada 28 Mei ini.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Negeri Perak di laman Facebook miliknya, fenomena itu berlaku ketika matahari berada tepat di atas Kaabah di Mekah.
Menurut jabatan itu, cara untuk menentukan arah yang tepat apabila orang ramai boleh merujuk kepada arah bayang matahari, di mana arah kiblat bertentangan dengan arah bayang.
Bukan itu sahaja, peristiwa yang dijangka bakal berlaku pada tarikh 28 Mei ini lebih kurang pukul 5.16 petang turut dikatakan bakal terjadi pada 16 Julai, pukul 5.28 petang.
Umat Islam sebenarnya boleh menandakan arah bayang dua hari sebelum atau selepas tarikh tersebut dan dalam tempoh 10 minit sebelum dan selepas waktu yang dinyatakan. – MalaysiaGazette