Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK) Khairy Jamaluddin AstraZeneca NPRA Sekhar Foundation
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Dianggarkan kerajaan akan dapat memberikan vaksin kepada rakyat dengan kadar 150,000 dos sehari menjelang Jun ini.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, ia berikutan tindakan  kerajaan mempercepatkan penghantaran vaksin-vaksin lain ke negara ini bagi menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau memaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada 21 Mei yang lalu telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Pfizer untuk menambah 12.8 juta dos vaksin.

Jelas beliau ini menjadikan jumlah dos yang telah ditempah  untuk vaksin Pfizer meningkat kepada  44.8 juta dos.

Jumlah ini jelas Khairy mencukupi untuk 70 peratus daripada jumlah populasi dalam negara.

“Dengan penambahan ini sukacita saya umumkan bahawa Malaysia akan mendapat sebanyak 25,682,670 dos penghantaran pada suku tahun ketiga daripada Pfizer,” katanya menerusi sidang media.

Beliau turut berkata, sejumlah 2,223,000 dos vaksin Pfizer yang akan diterima pada Jun ini.

“Sebanyak 444,600 dos akan dihantar setiap minggu bagi tempoh lima minggu. Ini bermakna jumlah keseluruhan vaksin Pfizer yang telah dan akan diterima sehingga akhir Jun adalah 4,974,840 dos,” tambahnya.

Selain itu kata Khairy, kesemua tempahan iaitu 12 juta dos vaksin Sinovac akan dihantar sepenuhnya pada bulan Jun dan Julai.

Jumlah itu merangkumi 5,089,800 dos daripada kilang Pharmaniaga di Malaysia serta 6,610 200 dos daripada kilang Sinovac terus dari Beijing.

“Vaksin AstraZeneca pula kita dijangka menerima 610,000 pada Jun dan 410,000 pada bulan Julai,” ujarnya.

Beliau berharap, penambahan jumlah penghantaran vaksin akan dapat menyegerakan proses penerimaan temu janji vaksin kepada rakyat.

Sementara itu Khairy memberi jaminan bahawa petugas media akan mula menerima tarikh temu janji suntikan Covid-19 pada minggu pertama bulan Jun.

Ia dijangka akan melibatkan lebih kurang 5,000 pengamal media daripada 144 agensi.

Beliau memaklumkan telah memberikan kelulusan supaya petugas media diberikan vaksin secepat mungkin.-MalaysiaGazette