PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sebuah video yang tular di media sosial bertajuk “Kak Siti kena bayar ‘pelincir’ untuk masuk ke Malaysia.”
Laporan itu dibuat pada hari ini jam 2.30 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya oleh Dato’ Makhzan Bin Mahyuddin, Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) JIM, Datuk Makhzan Mahyuddin.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kenyatan dan dakwaan dalam di video itu boleh menjejaskan imej dan nama baik Imigresen.
“Dalam video tersebut memaparkan seorang wanita memberi ucapan berkaitan status keberadaan dan pergerakan keluar masuk negara seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai ‘Kak Siti’.
“Dakwanya ‘Kak Siti’ mempunyai pas kerja yang sah dan telah melahirkan tiga orang anak di Malaysia dan beliau telah pergi ke Batam, Indonesia bersama-sama ‘Kak Siti’ dipercayai cuba membantu ‘Kak Siti’ untuk masuk semula ke Malaysia.
“Turut dibangkitkan dalam ucapan beliau tentang dakwaan bahawa ‘Kak Siti perlu membayar sejumlah wang kepada individu yang didakwa sebagai pegawai Imigresen bagi membantu kemasukan ‘Kak Siti’ ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Khairul Dzaimee, laporan kepada SPRM dibuat supaya satu siasatan yang telus dapat dijalankan.
“Jika terbukti dakwaan di dalam video tersebut adalah benar, tindakan yang tegas tanpa kompromi akan diambil jika terdapat pegawai jabatan ini yang melakukan kesalahan.
“Manakala jika didapati dakwaan di dalam video tersebut tidak benar, tindakan undang-undang yang sewajarnya boleh diambil terhadap wanita yang memberi ucapan di dalam video tersebut.
“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi.
“Jabatan ini juga tidak akan membiarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya cuba membuat kenyataan atau dakwaan yang tidak benar yang boleh menjejaskan nama baiknya,” tegas beliau.-MalaysiaGazette