JAKARTA – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan tiga yang lain cedera ringan ketika sebuah dermaga runtuh di wilayah Sumatera Barat.
Jurucakap polis wilayah, Stefanus Satake berkata, kemalangan itu berlaku sekitar jam 6 petang waktu tempatan ketika 14 pengunjung, yang terbahagi kepada dua kumpulan sedang mengambil gambar di tempat yang berlainan di dermaga.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada 10 orang sedang mengambil gambar di bahagian tengah dermaga dan kumpulan yang lain berada di bahagian kanan.
“Tidak lama setelah mengambil gambar kumpulan, pusat dermaga dengan 10 pengunjung di atasnya runtuh,” lapor media tempatan yang memetik Satake dalam satu kenyataan.
Lima daripada mereka berusaha menyelamatkan diri, tetapi lima yang lain, yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita, mati lemas.
Semua mangsa berasal di bandar Sawahlunto, katanya.
Polis sedang menyiasat kejadian tersebut. – MalaysiaGazette