Jagdeep.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menggesa kerajaaan pusat awalkan waktu perniagaan yang dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0  diperketatkan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan pusat perlu mengkaji semula waktu operasi perniagaan susulan ramai peniaga mengalami kesukaran dengan waktu operasi yang baru.

Jelas Jagdeep, kerajaan diminta mengikut waktu operasi ketika pelaksanaan PKP 2.0 yang membolehkan peniaga memulakan operasi seawal jam 6 pagi.

“Kebanyakan peniaga pasar pagi mendakwa pelanggan mereka datang awal pagi dan pelaksaaan waktu operasi baru menyebabkan pasar lenggang.

“Rata-rata peniaga meminta waktu perniagaan diawalkan dua jam iaitu jam 6 pagi berbanding jam 8 pagi ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pasar Awam Jalan Perak di sini hari ini.

Tambah Jagdeep, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi tidak bermaksud peniaga boleh mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam menangani wabak Covid-19.

“Kita minta awalkan waktu perniagaan saja dan peniaga tidak boleh lari daripada mengamalkan pematuhan SOP yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep menegaskan hampir 12,000 pegawai penguat kuasa pelbagai agensi turun padang bagi memastikan pematuhan SOP di negeri itu setiap hari.

Pada Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

Jelas beliau, peraturan itu akan berkuat kuasa di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 25 Mei ini. – MalaysiaGazette