Tidak ada tindakan pengasingan berdasarkan agama atau bangsa dalam pemberian vaksin.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tidak ada tindakan pengasingan berdasarkan agama atau bangsa dalam pemberian vaksin, tegas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Beliau menyifatkan dakwaan yang dibuat dan kemudian ditularkan kononnya pengasingan berdasarkan agama dan bangsa dibuat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Desa Tasik pada 24 Mei yang lalu merupakan tuduhan dan fitnah yang tidak benar.

Sebaliknya jelas Khairy, isu timbul apabila seramai 42 individu penerima vaksin di PPV berkenaan terdiri daripada bakal jemaah dan petugas haji.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua individu itu menerima vaksin Pfizer kerana Arab Saudi yang hanya hanya mengiktiraf vaksin tersebut selain AstraZeneca.

“Ini sekaligus menafikan mesej yang tular yang menyatakan berlaku pengasingan berdasarkan agama atau kaum dalam PICK. Satu tuduhan tidak bertanggungjawab, tidak betul dan perlu kita nafikan sekeras-kerasnya,” katanya menerusi sidang media secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata, penerima vaksin hanya diasingkan berdasarkan jenis vaksin di PPV mengikut ruang suntikan bagi memastikan tiada kesilapan dalam pemberian jenis vaksin.

Khairy memaklumkan, pada 24 Mei seramai 943 individu telah diberikan suntikan vaksin iaitu 252 vaksin Pfizer, 691 vaksin Sinovac di PPV Kompleks Sukan Tasik.

Daripada jumlah ini 169 orang Islam dan 83 orang bukan Islam merupakan penerima vaksin Pfizer manakala 142 orang Islam 549 orang bukan Islam merukan penerima vaksin Sinovac.-MalaysiaGazette