Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan kapal tangki dari Denmark kerana bersauh tanpa kebenaran

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki dari Denmark kerana bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 23.8 batu nautika di timur Tanjung Gemoh di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal ronda maritim menahan kapal berukuran 183 meter itu itu pada pukul 6.51 petang semalam.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati kapal itu dikendalikan 19 kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Rusia, Filipina, India, Ukraine dan Romania berumur antara 23 hingga 49 tahun.

“Mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta pemakluman ketibaan di perairan Malaysia.

“Seorang kru dibawa ke darat bagi proses saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Unit Siasatan Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes katanya, disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau memberitahu, sehingga kini pada tahun ini sebanyak 42 kapal ditahan dalam Op Jangkar Haram melibatkan 62 kes yang di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Maritim Johor.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) diambil serius bagi mengekang penularan Covid-19 daripada pelaut-pelaut yang datang dari pelbagai negara.

Maritim Malaysia juga menasihati semua pemilik dan nakhoda kapal supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim boleh disalurkan dengan menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999. -Malaysiagazette