KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan menyeluruh mengenai kes-kes dalam tahanan, baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, seiring dengan itu, pihaknya telah mengarahkan polis untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) mengenai tahanan suspek.
“KDN melalui PDRM juga bersedia untuk terus menambah baik SOP mengenai penahanan suspek dalam lokap dari semasa ke semasa bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah berkata demikian mengulas mengenai gesaan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang siasatan awam terhadap kematian dalam tahanan terbaharu kerana terdapat percanggahan sekitar kematian pengawal keselamatan berusia 42 tahun itu.
Santiago pada minggu lalu berkata antara percanggahan itu adalah laporan menyatakan Sivabalan Subramaniam meninggal dunia pada 12.25 tengah hari sedangkan polis menghubungi adiknya pada 3 petang untuk memaklumkan abangnya dalam keadaan kritikal di Hospital Selayang.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuai sehingga mengakibat kematian individu terbabit.
“KDN menegaskan bahawa segala siasatan berhubung kes-kes tersebut dilaksanakan dengan menyeluruh, adil dan telus berlandaskan lunas perundangan sedia ada.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai semasa penugasan ataupun melakukan sebarang kesalahan yang mengakibatkan kejadian seumpamanya,” katanya lagi.
Minggu lalu, keluarga Sivabalan mendakwa dia meninggal dunia di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak kurang sejam selepas ditahan.
Polis menahan Sivabalan berhubung kes pemerasan yang berlaku pada 2016.
Kematiannya menyusul kurang sebulan selepas IPD Gombak terbabit dalam kontroversi kematian peniaga susu lembu, A Ganapathy dalam tahanan polis.
Polis berkata, Sivabalan mempunyai sejarah rawatan penyakit jantung dan dilaporkan mengalami sesak nafas.
Polis menghubungi Hospital Selayang untuk bantuan kecemasan.
Kematiannya dikelaskan sebagai mati mengejut, sementara menunggu laporan lengkap dari jabatan forensik Hospital Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette