KUALA LUMPUR – Pemeriksaan rawak terhadap pengunjung yang berada di premis perniagaan khususnya kompleks beli belah oleh pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Ops Had 2J diharap dapat memberi kesedaran.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kini rakyat Malaysia bukan sahaja perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengawal penularan Covid-19 yang semakin meningkat, bahkan mereka juga harus tahu kawalan kendiri yang patut dilakukan.
Ia termasuk mengurangkan pergerakan dan had berada dalam premis seperti yang ditetapkan kementerian itu, iaitu 2 jam.
“Penguatkuasa KPDNHEP memerlukan kerjasama dari pengguna dalam kawalan kendiri. Sebab kalau kawasan luas ini kalau nak pastikan setiap seorang pengunjung mungkin tidak cukup tenaga.
“Harap dengan cara begitu di dalam kawasan ini memberi kesedaran kepada pengguna agar mematuhi SOP tidak boleh melebihi dua jam dalam pusat membeli belah,” katanya.
Terdahulu beliau hadir di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur untuk menyertai Pemantauan Pematuhan Ops Had 2 Jam SOP PKP 3.0 yang bermula 26 Mei 2021.
Memasuki hari ketiga Ops berkenaan, Alexander berkata, sehingga kini tiada kompaun yang dikeluarkan oleh anggota penguatkuasa kementerian tersebut.
Katanya, selain penguatkuasa KPDNHEP, anggota polis dan petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga berhak memeriksa aplikasi MySejahtera para pengunjung premis perniagaan untuk memastikan pematuhan had 2 jam dipatuhi.
“Pemeriksaan secara rawak untuk kita meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna supaya mereka rasa dipantau,” katanya.
Ops Had 2J memberi fokus terhadap pemantauan KPDNHEP di premis pasar raya, kompleks beli belah, pasar tani dan pasar malam yang menjadi tumpuan pengunjung.
Operasi itu akan melibatkan penguatkuasaan KKM, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Sehingga kini sebanyak 144 premis perniagaan di seluruh negara telah diperiksa oleh anggota penguatkuasa. – MalaysiaGazette