Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat beramah mesra dengan penerima vaksin ketika memantau pelaksanaan proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2021.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat beramah mesra dengan penerima vaksin ketika memantau pelaksanaan proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2021.

SUBANG JAYA – Sebarang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang ingin dilaksanakan memerlukan maklumat tepat dan cepat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumpulan maklumat di lapangan adalah penting di peringkat kerajaan negeri mahupun kerajaan sekiranya peritnah kawalan pergerakan ketat mahu diperkenalkan.

“Kita minta diizinkan samada kerajaan dan bukan kerajaan, pusat kajian dan pertubuhan antarabangsa untuk kumpulkan maklumat supaya kita tahu di mana daerah mana, dan kita memerlukan maklumat di peringkat tempatan.

“Kalau kita ada data-data begitu, maka PKP penuh di kluster tertentu itu efektif dan kalau tidak kita pakai sambil rambang sahaja. Kedua soal R Nought (R0), melihat ke belakang tentang apa yang berlaku dan apa yang berlaku sekarang.

“Kalau data itu cukup kita boleh buat unjuran sainstifik berdasarkan kepada data sains itu dan kita boleh tahan 300,000 hingga 400,000 keluar daripada Kelantan musim perayaan, dalam tempoh dua tiga minggu lagi kita boleh mengandaikan berdasarkan kepada data sains ini, perkara ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Petaling di Pusat Konvensyen Sunway Piramid, di sini, hari ini.

Presiden PKR itu ditemani Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk meninjau dan bertanyakan khabar kepada penerima-penerima vaksin Covid-19.

Sebelum ini, Dzulkefly berkata, sebarang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor harus berbeza dengan pelaksanaan PKP 1.0.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, siatuasi semasa jangkitan Covid-19 di negeri itu memerlukan pendekatan yang berbeza iaitu bersekali dengan tindakan-tindakan yang dapat menghentikan penularan Covid-19.

Malah beliau berkata, tempoh sekatan selama dua minggu tidak cukup untuk benar-benar menghentikan jangkitan Covid-19.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan sesuatu dengan petugas kesihatan ketika memantau pelaksanaan proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2021.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan sesuatu dengan petugas kesihatan ketika memantau pelaksanaan proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2021.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara utama yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan sekarang adalah mempercepatkan proses perolehan vaksin kepada seluruh penduduk di negara ini.

Jelasnya, ia boleh memastikan jumlah jangkita harian yang kini mencecah 8,000 kes diturunkan segera.

“Bagi saya permasalahan pokok ialah segerakan perolehan vaksin dan pastikan kendaliannya cukup teratur dan lebih meluas.

“Kita dapat saksikan pusat suntikan vaksin di bandar memang lancar dan cepat tapi kawasan luar bandar memerlukan jentera kerajaan sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette