bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Indeks utama Bursa Malaysia dijangka bergerak di antara 1,580 dengan 1,600 minggu depan memandangkan sentimen terus dipengaruhi oleh peningkatan kes COVID-19 di negara ini.

Ketua Jualan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau berkata, sentimen pelabur kekal lemah berikutan kes pandemik yang semakin meningkat telah mencetuskan kebimbangan mengenai penutupan penuh ekonomi dalam kalangan peserta pasaran.

“Tanpa pelaksanaan penutupan penuh, indeks barometer kemungkinan melepasi paras rintangan seterusnya 1,600 mata.

“Bagaimanapun berikutan situasi semasa dengan kes baharu COVID-19 harian mencecah lebih 8,000 pada Jumaat, barometer pasaran cenderung bergerak pada 1,580 hingga 1,600 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan pelabur menumpukan pembelian saham semasa harga rendah dengan tujuan untuk menjualnya apabila ia meningkat, sekiranya saham-saham berkenaan mengalami penurunan ketara minggu depan.

Lau dan Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn Bhd, Danny Wong berkongsi pandangan yang sama bahawa sektor bertemakan pemulihan seperti teknologi, sarung tangan dan penjagaan kesihatan mungkin kembali menjadi tumpuan minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Twitter pada Jumaat memaklumkan Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi harian sebanyak 8,290 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan kes keseluruhan di negara ini setakat ini berjumlah 549,514.

Berikutan berlakunya lonjakan kes baharu pandemik, Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan pada lewat Jumaat memaklumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun.

Ia menambah sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan MKN.

Kerajaan juga akan melaksanakan penutupan fasa kedua yang akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal, sekiranya fasa pertama berjaya mengurangkan kes harian COVID-19.

“Fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir,” menurut kenyataan itu.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 32.27 mata kepada 1,594.44 daripada 1,562.17 yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas.

Pasaran mencecah paras tertinggi harian bagi tiga hari berturut-turut didorong laporan prestasi kewangan korporat yang kukuh bagi suku berakhir 31 Mac, 2021.

Bagaimanapun kenaikan dalam pasaran dihadkan oleh kebimbangan mengenai peningkatan kes COVID-19 setelah negara ini melaporkan jangkitan baharu yang tinggi sejak minggu lepas, dengan angka tertinggi mencecah 8,290 kes pada Jumaat.

Bursa tempatan ditutup pada Rabu bagi kelepasan am Hari Wesak.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 242.47 mata kepada 11,578.50, Indeks FBMT 100 menokok 234.38 mata kepada 11,276.60, Indeks FBM Emas Syariah menambah 239.01 mata kepada 12,847.04, FBM 70 melonjak 332.99 mata kepada 14,869.65 dan FBM ACE menambah 219.01 mata kepada 7,843.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 399.13 mata kepada 15,167.13, Indeks Perladangan naik 8.94 mata kepada 6,908.46 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 5.79 mata kepada 193.09.

Indeks Tenaga naik 17.68 mata kepada 863.60, Indeks Teknologi menokok 3.47 mata kepada 78.98, dan Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 2.69 mata kepada 3,134.39.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 30.51 bilion unit bernilai RM18.84 bilion daripada 32.44 bilion unit bernilai RM16.52 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 16.84 bilion saham bernilai RM14.96 bilion daripada 18.69 bilion saham bernilai RM15.29 bilion.

Jumlah dagangan waran pula sebanyak 944.87 juta unit bernilai RM104.14 juta berbanding 1.53 bilion unit bernilai RM152.39 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 12.71 bilion saham bernilai RM3.75 bilion daripada 12.24 bilion saham bernilai RM4.21 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast