Setiausaha Penggerak Komuniti Negara (PKN) Selangor, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee

KUALA LUMPUR – Penubuhan Penggerak Komuniti Negara (PKN) dengan keanggotaan lebih 200,000 orang yang digerakkan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam tempoh kurang setahun sudah mampu untuk membentuk parti politik, apatah lagi menggerunkan lawannya.

Menurut Setiausaha PKN Selangor, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee, gerakan tersebut agak menggusarkan beberapa pemimpin politik kerana NGO ini dalam sekelip mata mampu membina rangkaian di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Zuraida keluar meninggalkan PKR, beliau tidak menunggu lama untuk memperkuatkan sokongan akar umbi melalui penubuhan PKN di seluruh Malaysia.

“Bukan mudah untuk membina dan mengumpul sejumlah ahli yang ramai begitu. Keahlian 200,000 ahli itu sudah cukup besar untuk dianjak menjadi sebuah pertubuhan politik.

“Namun, matlamat utama PKN adalah memperkasakan komuniti berlandaskan Dasar Komuniti Negara dan menyokong kerajaan dalam usaha penyampaian informasi serta pelbagai inisiatif pemerintah kepada akar umbi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada Khamis lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii dalam kenyataannya menyenaraikan tujuh isu kenapa Menteri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) didakwa lepas tangan dan tidak berfungsi dalam membantu menangani Covid-19.

Antara lain Mohd Razlan mendakwa, Zuraida yang menaungi NGO PKN sibuk mengatur program politik Perikatan Nasional (PN) dan beliau mempersoalkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang didakwa tidak fokus membantu menangani isu Covid-19.

Dalam pada itu, kewujudan PKN adalah isyarat politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konco-konconya bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida masih mempunyai sokongan kuat dan masih relevan di seluruh negara.

“Kehilangan Zuraida adalah suatu kerugian besar buat Anwar dan PKR. Memang benar bukan beliau semata-mata PKR menjadi progresif, tetapi sebahagian usaha Zuraida menggerakkan sayap wanita PKR dahulu banyak memberi tambah nilai organisasi.

“Lihat sendiri di Ampang, PKR Ampang boleh ditakrifkan sebagai lemau dan tepu kerana ketiadaan tokoh atau figura. Hampir keseluruhan pimpinan utama PKR Ampang keluar mengikuti jejak Zuraida,” jelasnya.

Susulan itu, tidak hairan jika Anwar terpaksa membawa masuk pelawak dan pelakon komedi untuk diprojekkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi melawan Zuraida.

“Namun, pelawak dan pelakon komedi itu harus sedar bahawa suasana politik di Ampang tidak sama sekali dengan filem mereka ‘Baik Punya Cilok’.

“Ini kelebihan Zuraida yang cekap membina akar umbi, malah beliau cukup pantang jika ada orang menceritakan keburukan orang lain di hadapan beliau.

“Beliau lebih fokus kepada pelaksanaan kerja dan tugasan, bukan melayan isu remeh-temeh yang melambatkan gerak kerja,” katanya.

Tidak terhenti di situ sahaja, Zuraida sebelum ini membentuk Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL) pada 8 Mac lalu menjadi landasan politik yang menyediakan ruang lebih luas untuk penglibatan wanita dalam politik, ekonomi dan sosio-budaya secara aktif.

“Penglibatan wakil-wakil rakyat wanita daripada pelbagai parti dalam COMWEL ini adalah kesinambungan perjuangan Zuraida yang mahu membawa keterlibatan wanita dalam hal-hal membuat dasar-dasar pemerintahan.

“Beliau berulang kali menyatakan keterlibatan itu bukan untuk menyaingi lelaki tetapi ia adalah platform melibatkan wanita dalam lapisan pembuat dasar dan keputusan penting. Ini kerana golongan wanita juga penyumbang kepada pembangunan negara.

“Zuraida mahu memperkasakan peranan dan sumbangan wanita lebih meluas dalam bidang teknologi, perniagaan, sektor pembuatan dan sumber manusia,” katanya.

Jelasnya, kesungguhan COMWEL mendepani beberapa isu penting negara khususnya melibatkan wanita melalui penekanan 30 peratus kuota sebagai calon pilihan raya.

“Itu yang awal diutarakan oleh Zuraida semasa perasmian penubuhan COMWEL dengan cadangan kuota 67 kerusi khusus calon wanita bagi Parlimen pada PRU15 akan datang,” katanya.

Sementara itu, pencerobohan Israel di Masjidil Al-Aqsa dan serangan bom ke atas Gaza turut menjadi perhatian COMWEL.

“Zuraida pantas meletakkan diri melalui COMWEL mendepani isu pembelaan rakyat Palestin khususnya wanita dan kanak-kanak yang menjadi sasaran mudah Israel.

“Sejumlah sumbangan bernilai RM1 juta telah diumumkan oleh Zuraida sebagai tanda solidariti rakyat negara ini kepada Palestin.

“Sokongan Zuraida kepada perjuangan Palestin sebenarnya telah bermula sejak 2009, malah sebelum menjadi wakil rakyat, beliau pernah terlibat dalam beberapa misi keamanan di Afghanistan dan Timur Tengah.

“PKN dan COMWEL umpama tangan kiri dan kanan Zuraida Kamaruddin untuk memacu gerakan politik massa. Ini bukan tahap acah-acah sebagaimana Anwar Ibrahim yang suka bermain angka khayalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette