Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas kira-kira 640 kilogram (kg) ikan delah dan 80 kg todak yang dibawa masuk dari Indonesia tanpa Permit Import di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, petang kelmarin.

PASIR GUDANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas kira-kira 640 kilogram (kg) ikan delah dan 80 kg todak yang dibawa masuk dari Indonesia tanpa Permit Import di Pelabuhan Pasir Gudang petang kelmarin.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim dalam kenyataannya hari ini berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan rutin Pegawai Penguasa MAQIS pada sebuah tongkang yang membawa pelbagai jenis ikan basah di Dermaga 7 pelabuhan itu pukul 3.50 petang.
“Pemeriksan lanjut yang dijalankan menemukan ikan delah dengan berat kira-kira 640 kg dan todak seberat 80 kg yang dianggarkan bernilai RM8,520 dibawa masuk tanpa Permit Import.
“Semua konsainan itu ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta berkenaan,” katanya.
Hizzuan berkata, jika disabitkan kesalahan ia boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Sementara bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda maksimum RM150,000 atau dipenjarakan maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.
“MAQIS menasihati supaya semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” katanya.-Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast