KUALA LUMPUR – Hive Resources Sdn. Bhd. (Hive), syarikat pengendali aplikasi cuci kereta yang pertama di Malaysia bawah jenama Hive menyasarkan memiliki 300 rakan kongsi dalam kalangan pengusaha cuci kereta menjelang akhir tahun ini.
Pengasas Hive, Amirol Isa Izani berkata, jumlah itu mampu membuatkan aplikasi tersebut menjadi pilihan ramai di kalangan lebih 20,000 pengguna kereta sepanjang tempoh itu.
Beliau berkata, ketika ini selepas sebulan beroperasi, Hive semakin berada di landasan tepat apabila memiliki lebih 60 rakan kongsi terutama di Lembah Klang yang melibatkan 2,000 pengguna kereta.
“Kami akan terus agresif mempromosikan jenama Hive bagi membantu lebih ramai pengusaha cuci di seluruh negara untuk mendaftar dengan aplikasi ini.
“Selepas satu bulan di pasaran, kami berjaya membawa 2,000 pengguna memuat turun aplikasi ini dan mereka dapat menikmati pelbagai promosi hebat.
“Antaranya selepas empat kali basuhan kereta mereka mendapat satu kali cuci percuma di mana-mana rakan kongsi yang berdaftar dengan Hive di seluruh negara.
“Sasaran kami agar jenama Hive akan kerap muncul di media dalam meluaskan dan memperkenal kepada lebih ramai pengguna serta dapat menarik minat pengusaha cuci untuk menjadi rakan kongsi,” katanya yang mengakui kos membangunkan aplikasi Hive adalah tinggi.
Aplikasi Hive diperkenal oleh Amirol bersama rakannya, Mohd. Noor Hisham Hashim yang juga Pengarah Hive di pasaran pada April lalu selepas setahun mereka melakukan kajian dan penyelidikan.
Aplikasi Hive ini bertujuan menjadi satu ekosistem yang menghubungkan pengguna kereta, pengusaha cuci kereta, produk pencuci kenderaan, insurans dan pengiklanan dalam satu platform digital yang mula ditubuhkan pada Jun tahun lalu.
Amirol memberitahu, objektif Hive adalah membantu golongan pengusaha cuci kereta dan pada masa sama memudahkan pengguna untuk membuat temu janji membasuh kereta secara atas talian.
Jelas beliau, kelebihan applikasi itu adalah menawarkan kualiti yang terbaik serta menawarkan anjaran kepada pengguna.
“Hive turut membantu pengusaha cuci kereta di Malaysia untuk meningkatkan lagi servis jualan mereka di samping menikmati insentif-insentif dari kami.
“Bagi pengguna pula, mereka tidak lagi perlu menunggu lama kerana melalui aplikasi ini mereka akan dapat menempah mencuci kereta mengikut keselesaan penguna itu sendiri.
“Bagi pihak Hive, kami komited untuk mempromosikan applikasi ini selain membantu menambah pendapatan pengusaha yang terkesan akibat pademik Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Noor Hisham memberitahu, Hive kini turut memiliki gedung rangkaian e-dagang sendiri iaitu Hivestore di mana ia memudahkan penguna dan pengusaha untuk membeli barangan runcit secara terus di laman web.
Tambahnya, Hive juga bakal bekerjasama dengan sebuah institusi tempatan untuk memberi peluang kepada pelajar mempelajari tentang industri.
Kataya, pelajar juga dijamin mendapatkan kerja melalui pengusaha yang berdaftar dengan Hive.
“Kami juga sedang berkolaborasi dengan beberapa jenama tempatan terkenal bagi memudahkan pengguna untuk menggunakan aplikasi ini.
“Bagi menghargai serta memberi semangat kepada atlet aralimpik negara, Hive juga akan memberi cucian kereta percuma seumur hidup kepada semua pemenang pingat Sukan Paralimpik Tokyo yang akan diadakan pada Ogos ini,” katanya.
Mereka yang berminat menjadi pengguna aplikasi Hive, boleh melayari di laman web https://www.hiveapp.asia. – MalaysiaGazette