Jam tangan G-Shock edisi Harimau Malaya.

KUALA LUMPUR – Jam tangan G-Shock edisi Harimau Malaya yang mula dijual di semua cawangan G-SHOCK Stores dan G-Factory stores telah habis dijual walaupun penjualannya baru dibuka semalam.

Jam tersebut dilancarkan pada penghujung Mac lalu menerusi kerjasama Casio dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai tanda sokongan kepada skuad kebangsaan.

Melalui perkongsian daripada laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Casio Malaysia, jam itu dibuka untuk jualan kepada umum mulai hari ini, dua hari lebih awal daripada tarikh asal yang diumumkan sebelum ini pada 1 Jun ini.

Namun tidak sampai sehari, Casio melalui satu kenyataan memberitahu semua unit jam tersebut telah habis dijual kecuali di tiga cawangan iaitu di G-Factory Aman Central Alor Setar, G-Factory East Coast Mall Kuantan & G-Factory Spring Mall Kuching yang sehingga kini masih tutup.

Peminat G-Shock dan penyokong Harimau Malaya bagaimanapun masih berpeluang untuk mendapatkan jam tersebut secara atas talian bermula 1 Jun nanti melalui aplikasi Shopee.

Menggunakan model asas G-Shock GA-2000-1A9, jam ini didatangkan dengan warna tradisi Harimau Malaya iaitu hitam dan kuning serta memiliki ukiran logo Harimau Malaya sekali gus menyerlahkan lagi gaya eksklusif dan unggul.

Edisi terhad itu hanya dikeluarkan sebanyak 999 unit dan diukir dengan nombor siri bermula 002 sehingga 999 yang terletak di bawah tali jam tangan dengan harga jualan bermula dari RM579.

Ianya dikatakan akan dipakai oleh semua pemain sepanjang latihan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan depan.

Semakan kami melalui pelbagai saluran penjualan e-dagang mendapati sudah ada pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan menjual jam tangan tersebut setinggi harga RM1,899  juga melalui aplikasi Shopee. – MalaysiaGazette