Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap ketika sidang media Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya .Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MEI 2021

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menghina atau mempersendakan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Institusi Diraja.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sikap tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab tersebut adalah satu jenayah yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam.

“Berikutan itu, pemilik akaun FB Iswardy Morni yang dipercayai mengeluarkan kenyataan yang mempersenda serta menghina Yang DiPertuan Agong telah ditahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui peruntukan Seksen 8 (2) dan Seksyen 11 Akta Hasutan 1948.

“Selain siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM juga sedang menyiasat individu tersebut bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,’ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah sebelum ini berkata, polis menerima sekurang-kurangnya tiga laporan polis dibuat terhadap ahli PKR itu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar awal hari ini mengesahkan Pengerusi Pro PKR Sarawak, Iswardy Morni yang ditahan direman selama dua hari mulai hari ini.

Perintah reman itu berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dev Kumar berkata Iswardy ditahan di rumahnya di Kajang pukul 11 malam tadi.

Iswardy dikesan polis ekoran satu video yang didakwa menghina YDPA yang mendapat kecaman ramai kerana dianggap biadap terhadap Al-Sultan Abdullah.

Dalam pada itu, Hamzah mengarahkan pihak polis untuk terus memantau segala kegiatan menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja di negara ini.

“KDN meminta pihak PDRM untuk memantau serta mengambil tindakan yang lebih tegas dan pantas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seperti ini demi memastikan Institusi Diraja, kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam kekal terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast