KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuka lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di sekitar Lembah Klang bermula 7 Jun ini dalam usaha meningkatkan lagi proses pemberian vaksin kepada orang amai.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketiga-tiga PPV mega akan membabitkan di Selangor manakala dua lagi di Kuala Lumpur.
Jelas beliau, PPV itu adalah Pusat Konvensyen The Mines dekat Seri Kembangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dan Pusat Konvensyen Setia City.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
MITEC menjadi PPV mega yang akan beroperasi esok dengan sasaran dapat meningkatkan lagi keupayaan pemberian vaksin kepada 6,000 orang sehari.
Beliau yang juga Menteri Sains Dan Teknologi itu berkata, pembukaan PPV berskala mega akan diteruskan juga di negeri-negeri dalam masa terdekat.
“Minggu depan saya akan ke Pulau Pinang untuk membincangkan beberapa PPV mega di Pulau Pinang dan selepas itu saya akan ke Johor untuk berbincang dengan negeri Johor untuk pembukaan PPV mega,” jelasnya. – MalaysiaGazette