JOHOR BAHRU – Semua urusan bagi majlis akad nikah sepanjang tempoh total lock down akan ditangguhkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Pengarahnya, Datuk Md Rofiki Shamsuddin berkata, kenduri kahwin serta kursus pra-perkahwinan Islam secara bersemuka turut ditangguhkan.
“Penangguhan termasuk perkhidmatan kaunter bagi permohonan kebenaran berkahwin, pendaftaran cerai dan rujuk, permohonan pendaftaran pengesahan perkahwinan dan poligami, pengambilan dokumen serta kad perakuan nikah.
“Arahan tersebut dikeluarkan dalam pekeliling Bahagian Pentadbiran Undang-undang Syariah JAIJN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Rofiki, bagi yang dijadualkan melalui temu janji untuk melaksanakan urusan-urusan nikah, cerai dan rujuk di pejabat kadi daerah, penjadualan semula urusan tersebut akan dilaksanakan.
Manakala bagi mereka yang ingin mendirikan rumah tangga dalam tempoh itu, beliau meminta pasangan terlibat supaya bersabar dan memperbanyak ibadah puasa.
Namun katanya, bagi perkhidmatan berkaitan nikah, cerai dan rujuk yang dilaksanakan secara atas talian menerusi sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) http://www.sppim.gov.my masih dilaksanakan.
“Antara yang dibenarkan ialah permohonan Kebenaran Nikah (Benar Nikah Online), kursus pra perkahwinan Islam secara maya, aduan dan proses tentang proses kebenaran berkahwin serta perkhidmatan khidmat nasihat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, semua pihak perlu mengambil peranan proaktif untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
“Dalam tempoh pandemik ini, usaha mengekang penularannya daripada tersebar hendaklah diutamakan berbanding perkara lain,” katanya.-MalaysiaGazette