Anthony Loke SOSMA GE15 UMNO agenda
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kenyataan Kementerian Pengangkutan yang memaklumkan pesawat milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara baru-baru ini mendapat kelulusan penerbangan Malaysia mendapat kritikan bekas menterinya, Anthony Loke Siew Fook.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu berkata, keadaan pasti berbeza sekiranya perkara itu berlaku ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Bayangkanlah kalau kejadian ini berlaku semasa PH memerintah dan saya masih memegang jawatan Menteri Pengangkutan, tentu heboh satu Malaysia kan?

“Tak dengar pula suara-suara lantang sekarang?” soal Anthony.

Ahli Parlimen Seremban itu mengulas mengenai kenyataan Kementerian Pengangkutan di bawah Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang berkata pesawat milik syarikat Israel itu mendapat kebenaran untuk melalui ruang udara negara ini.

Menurut kenyataan itu, pesawat awam berkenaan disahkan melalui ruang udara negara mengikut peraturan-peraturan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.

Menurut kenyataan itu, sebagaimana peraturan-peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udara selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.

Pesawat itu melalui ruang udara negara berlepas dari Malé, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada Rabu, 19 Mei lalu pada jam 2.55 pagi.

Malah dalam kenyataan itu, tiada corak penerbangan yang tidak normal dikesan ketika pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia.

Jelas Kementerian Pengangkutan lagi, pihak berkuasa penerbangan Malaysia mengesahkan bahawa pesawat tersebut tidak kembali ke ruang udara Malaysia setelah tiba di destinasinya, Singapura.

Kewujudan pesawat prototaip pengintip bernombor pendaftaran 4X-AOO milik Israel ketika dalam penerbangan dari Tel-Aviv ke Singapura memasuki ruang udara negara dan berlegar empat jam sebelum mendarat menimbulkan kegusaran yang banyak diluahkan di media sosial.

Ia dikesan memasuki ruang udara Malaysia menerusi laman web Flight Radar sebelum dilaporkan beberapa agensi berita tempatan. – MalaysiaGazette