KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka sebanyak 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara dalam tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial semasa Perintah Kawalan Pergerakan penuh Fasa Pertama bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.
Ini terdiri 24 buah Pasar Tani Kekal, 3 buah MyFarm Outlet, 14 buah Pusat Operasi FAMA dan 2 buah Agrobazaar berbanding 63 lokasi yang telah dibuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang lalu.
Sebanyak 7 komoditi ditawarkan di semua outlet PST ini iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan/hasil laut, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.
Pasar Tani Kekal, MyFarm Outlet dan Agrobazaar beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 4 petang, manakala Pusat Operasi FAMA (7 pagi hingga 12 tengah hari).
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, PST diwujudkan dengan objektif untuk memberi akses pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan dengan penawaran penjimatan 5 hingga 20 peratus.
Beliau berkata, inisiatif ini juga sebagai ruang pasaran kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka ketika tempoh pelaksanaan PKP penuh Fasa Pertama selama 14 hari ini.
PST ini juga beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dengan penjarakan gerai antara peniaga sejauh tiga meter, pintu masuk dan keluar dikawalselia oleh pihak berkuasa serta menghadkan bilangan kemasukan pengunjung di kawasan PST pada satu masa.
Para pengguna juga dinasihatkan untuk membuat bayaran secara online dan tanpa tunai samada melalui pembayaran QR Pay dan E-wallet supaya dapat membendung penularan wabak COVID-19 melalui wang kertas.
Operasi PST pada kali ini juga menawarkan pembelian secara atas talian yang mana pesanan boleh dibuat sebelum pengoperasian PST samada melalui platform media sosial, eWallet atau eDagang dan membuat bayaran terus secara online (COD).
Pengguna juga boleh membuat pilihan untuk mendapatkan pesanan yang ditempah melalui kaedah pick-up point, penghantaran melalui rider atau dropship.
Di samping itu, bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan PKP penuh Fasa Pertama ini, MAFI menyeru kepada semua usahawan yang menghadapi masalah pemasaran hasil pertanian, boleh berhubung terus dengan pejabat FAMA yang berhampiran atau melalui portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/) untuk sebarang pertanyaan, aduan dan maklum balas.