Peranan dan tanggungjawab anggota tentera kini sebagai petugas barisan hadapan turut berdepan dengan kebolehjangkitan Covid-19.

SETELAH beberapa minggu diasak oleh rakyat, Perdana Menteri semalam mengeluarkan kenyataan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan penuh seperti PKP1.0. Tanda pagar #kerajaangagal bermaharajelala, rakyat melampiaskan ketidakpuasan hati, kekecewaan dan kemarahan terhadap kerajaan yang dianggap gagal mengekang wabak Covid 19 dengan efisien. Api kemarahan mereka dimarakkan dengan SOP, keputusan kerajaan yang dilihat tidak konsisten dan penguatkuasaan oleh agensi-agensi kerajaan yang dilihat tidak seragam.

Dalam mencerakinkan polemik ini, saya terhimbau kepada seuntai baris kata daripada sajak Allahyarham Usman Awang yang berbunyi: Kawan-kawanku yang dikasihi, di belakang duri, di depan api, kita tidak bisa undur lagi, duri dan api, tajam panasnya kita hadapi. Situasi inilah yang sedang dialami oleh rakyat dan kerajaan Malaysia. Masing-masing terhimpit dan tersepit. Diluah mati emak, ditelan mati bapa.

Serba-serbi yang dibuat seolah tidak kena. Kita harus akui tidak mudah untuk sesiapa pun yang berada di bangku kerajaan kini untuk membuat keputusan. Apatah lagi, setiap butir kata yang meluncur akan dinilai oleh netizen yang bersiap sedia untuk “membuat kerja”. Setiap tindak tanduk kerajaan tidak terlepas daripada kritikan. Lock down salah, perketat SOP pun salah, tidak benarkan rentas negeri pun salah, diberikan vaksin pun salah. Oleh itu, apa peluang yang ada untuk kerajaan dalam menjernihkan kondisi ini?

Pada hemat saya, kerusuhan wabak ini harus ditangani dengan meletakkan nyawa dan keselamatan rakyat sebagai prioriti. Fokus harus diberi kepada pelaksanaan PKP Penuh ini, SOP dan polisi mesti diperjelas serta disebarkan supaya ianya bukan sahaja sampai kepada rakyat malah ianya harus sampai dan jelas kepada pihak penguatkuasa supaya tidak terjadi lagi insiden dimana penguatkuasa terkeliru dan mengambil tindakan yang memebebankan rakyat. Apabila sesuatu keputusan itu telah diwartakan, maka kerajaan mesti bertegas.

Katakan ya dan tidak dengan berani tanpa kompromi. Ketegasan ini yang saya lihat tidak diimplementasikan sekarang. Jangan diatas desakan mana-mana pihak atau atas apa jua alasan yang diberikan oleh para menteri yang terkesan, kerajaan mengambil satu langkah kebelakang. Kita harus sedar segala tindakan yang diambil mempunyai sisi baik dan buruknya, tindakan yang terbaik ialah tindakan dengan nilai risiko yang lebih rendah jika dibandingkan dengan tindakan yang satu lagi.

Saya tidak nafikan peniaga kecil dan pengusaha SME akan menerima impaknya namun ekonomi yang merudum boleh diperbaiki dan dibangkit utuh bersama, namun nyawa yang melayang tidak dapat dicari ganti dengan apa sekali pun. Oleh itu, kemaslahatan mereka wajib diberikan perhatian prima. Namun kita juga sebagai rakyat harus bersedia untuk menanggung sama-sama konsekuensinya bersama dengan kerajaan.

Rakyat pula di hujung spektrum yang satu lagi, mestilah bersikap profesional dan bukannya emosional. Demi kesejahteraan bersama, kerajaan dan rakyat mesti saling bersimbiosis dalam membentuk ekosistem yang seimbang dan sejahtera. Jangan hanya pandai menuding jari kepada kerajaan apabila kes Covid menerjang naik ke angka 9000 dan 10000.

Muhasabah di mana kelemahan dan kesilapan diri yang perlu diperbaiki. Tanya pada diri kita sendiri mengapa jalan raya masih penuh dengan kenderaan, mengapa pusat beli-belah juga masih dikunjungi. Apa yang kita dapat dengan memaki hamun dan menghentam kerajaan lewat Twitter, Instagram, Whatsapp dan Facebook? Apakah dengan tindakan sedemikian 100 orang terhindar daripada mara bahaya Covid?

Tidak bukan? Sebaliknya, gunakan kuasa teknologi dan media untuk hebahkan mesej-mesej yang positif seperti patuhi SOP, pakai pelitup muka, bincangkan aktiviti perniagaan atas talian yang boleh dibuat sesama komuniti untuk merancakkan ekonomi. Dalam menghadapi PKP penuh ini, kita sebagai rakyat dan komuniti mestilah lebih cakna terhadap orang sekeliling kita, jiran-jiran dan rakan-rakan yang mungkin lebih terkesan daripada kita.

PKP 1.0 jelas memberi impak kepada rakyat Malaysia, kes penderaan meningkat, begitu juga kes penceraian, ramai yang mengalami ganguan emosi, kemurungan sehingga ada yang mencuba untuk bunuh diri, oleh itu kita haruslah lebih peka dengan situasi sekeliling untuk memastikan kita semua dapat keluar dari keadaan ini bersama-sama.

Buat masa sekarang, pihak majikan juga jangan terlalu serakah mengejar keuntungan dengan mengerah pekerja. Berikan mereka sokongan moral dan psikologi. Mentaliti pihak majikan dan pengurusan perlu diubah. Polisi bekerja dari rumah mestilah jelas dan sistematik. Bekerja dari rumah bukannya bekerja 24 jam tanpa henti. Hal ini mestilah diperhalusi agar majikan dan pekerja berada dalam situasi menang-menang.

Kita semua berada dalam situasi yang bersifat trial and error. Kita tidak pernah berada dalam kondisi seumpama ini. Oleh itu, kita mesti cepat beradaptasi. Sebarang kekhilafan yang dibuat mesti diperbetul dengan secepat mungkin dan terus bergerak ke depan. Komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat mesti dipertingkatkan dan berlangsung secara telus. Ini ialah kunci utama bagi menangani Covid 19.

Mesej-mesej yang mengelirukan mesti dielakkan supaya rakyat tidak terus terbelit dan keliru oleh apa yang betul, apa yang salah. Agenda keji untuk bermain politik dengan membakar perasaan rakyat oleh sesetengeah pihak haruslah dihentikan segera. kerana ianya jelas sekekadar ingin mengumpul political mileage.

The purpose of a government is to govern the people, sebuah kerajaan tidak akan punya kuasa dan makna tanpa rakyatnya. Kepada Allah kita berserah, selamatkanlah Malaysia.

Aizat Fikri Nasir Fikri
Mantan Timbalan Presiden UMN London