Minister of Science, Technology and Innovation cum the Coordinating Minister for the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar Phase 4 PICK
Minister of Science, Technology and Innovation cum the Coordinating Minister for the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di negara ini mempengaruhi lebih ramai masyarakat mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini pihaknya merekodkan sebanyak 12,117,091 pendaftaran untuk mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) iaitu lebih 50 peratus populasi negara yang berusia 18 tahun ke atas.

Menurutnya, sebanyak 2,913,009 dos vaksin sudah diberi dengan mereka yang sudah menerima dos pertama seramai 1,860,864 orang, manakala dos lengkap seramai 1,054,145 orang.

“Pendaftaran vaksin meningkat dengan mendadak disebabkan kes jangkitan meningkat mendadak.

“Kesedaran rakyat untuk mendapatkan vaksin bagi perlindungan mereka sudah menjadi keperluan mendesak,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, hari ini.

Turut serta pada sidang media itu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy berkata, berikutan itu, beliau dan Menteri Kesihatan sudah bermesyuarat, bersama-sama semua anggota CITF di peringkat negeri untuk menyegerakan pemberian vaksin susulan kerisauan orang ramai untuk mendapatkan pelalian.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, pihaknya telah melakukan siasatan berkenaan sejumlah pendaftar vaksin yang menerima tempat vaksinasi di negeri berbeza dalam aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, ia berlaku kerana masalah berkaitan API Google Maps.

Jelas beliau, apabila seseorang memasukkan kawasan tempat tinggal mereka, Google Maps akan menyenaraikan semua lokasi dengan nama sama dan sesetengah pengguna mungkin memilih alamat pertama dalam senarai, walaupun ia adalah alamat yang salah.

“Misalnya, orang itu tinggal di Taman Bahagia di Kuala Lumpur. Mereka taip ‘Taman Bahagia’ dan semua (tempat bernama) ‘Taman Bahagia’ keluar dalam Google API.

“Mereka klik pada ‘Taman Bahagia’ yang pertama (dalam senarai itu) dan akhirnya mereka dapat Taman Bahagia, Sandakan,” tambahnya,

Oleh itu, Khairy berkata, proses pendaftaran akan ditambah baik dengan pendaftar akan diminta mengesahkan poskod dan negeri mereka.

“Mesej saya kepada pengguna MySejahtera adalah untuk kemas kini ruangan alamat mereka agar insiden seperti ini dapat dikurangkan atau tidak berlaku lagi.

“Tolong kemas kini alamat anda dan letakkan poskod dan alamat agar masalah ini tak berlaku lagi,” ujarnya.

Katanya lagi, ciri bantuan interaktif juga akan dimasukkan dalam aplikasi itu untuk membantu pengguna menyelesaikan masalah seumpamanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast