Gambar hiasan
JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ)  menerusi kaedah nyamuk yang disuntik bakteria berWolbachia bagi mengatasi penularan denggi.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari berkata, langkah itu merupakan inisiatif terbaharu MBJB mengawal peningkatan kes demam denggi.

“Mengikut statistik setiap tahun jika dilihat daerah Johor Bahru menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes demam denggi di Johor khusunya dalam kawasan pentadbiran MBJB.

“Maka dengan itu pelbagai pelaksanaan program pencegahan dan kawalan demam denggi telah dilaksanakan mengikut 10 strategi yang terkandung dalam pelan tindakan denggi MBJB namun jumlah kes demam denggi terus meningkat setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datu Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari

Adib berkata, objektif penggunaan nyamuk berWolbachia itu untuk menggantikan populasi nyamuk liar yang membawa virus denggi dengan populasi yang tidak dapat menyebarkan virus denggi, Zika atau Chikungunya kepada orang ramai.

“Kaedah Wolbachia itu selamat digunakan di sembilan negara seluruh dunia untuk mengurangkan penularan penyakit. Jadi bagi memastikan kerjasama itu berjaya, MBJB dan JKNJ memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 4 Mei lalu  dalam pelaksanaan kawalan vektor menggunakan kaedah nyamuk berWolbachia.

“Melalui persefahaman ini, MBJB membantu pihak JKNJ membaik pulih dan menaik taraf makmal insektorium JKNJ sedia ada bermula pada Ogos 2020 lalu dan kerja-kerja di tapak telah disiapkan dalam masa empat bulan dengan kos RM328,050,” katanya.

Sementara itu, Adib berkata, MBJB tetap meneruskan perkhidmatan seperti biasa sepanjang tempoh total lock down dilaksanakan.

Bagaimanapun beliau menyeru kepada warga bandar raya  untuk menggunakan aplikasi dalam talian MBJB yang disediakan bagi memudahkan urusan-urusan bersama MBJB tanpa perlu hadir di kaunter.- MalaysiaGazette