Setiausaha MCA Pulau Pinang, Yeoh Chin Kah (kiri) menunjukkan pengiraan kenaikan tarif air Pulau Pinang di Wisma MCA negeri di George Town, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Jawatankuasa Perhubungan  MCA Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri menarik semula cadangan menaikkan tarif air yang akan membebankan rakyat tatkala berdepan cabaran Covid-19.

Setiausaha MCA negeri, Yeoh Chin Kah berkata, kenaikan tarif air lebih 100 peratus itu menunjukkan kerajaan pimpinan DAP  tidak sensitif dengan keadaan rakyat yang kini memerlukan bantuan demi kelangsungan hidup.

Yeoh Chin Kah.

Katanya, penduduk Pulau Pinang memerlukan penggunaan air banyak ketika ini sejajar dengan saranan Kementerian Kesihatan meminta rakyat sentiasa menjaga kebersihan termasuk cuci tangan dengan kerap bagi membendung penularan Covid-19.

“Jika kenaikan ini diteruskan rakyat berdepan bebanan tambahan. Sebagai contoh, jika isi rumah menggunakan 25 meter padu air sebulan, bil air bulanan semasa adalah RM6.70. Selepas peningkatan, ia akan menjadi RM16,50 ini sekali gus menunjukkan kenaikan sebanyak RM9.80 atau 146 peratus.

“Bagi penggunaan komersial pula, jika penggunaan air adalah 35 meter padu, bil air akan naik dari RM30.53 menjadi RM49.34 ataupun kenaikan 62 peratus jika ia adalah unit komersial dengan penggunaan air bulanan lebih dari 100 meter padu ia akan mengalami kenaikan maksimum RM69.19,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, Jalan Transfer hari ini.

Tambah Chin Kah, kerajaan negeri tidak boleh meletakkan tanggungjawab kenaikan tarif ke atas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana permohonan itu dilakukan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP).

“Kita difahamkan Persatuan Hotel Pulau Pinang telah menghantar surat kepada SPAN beberapa hari yang lalu untuk meminta menghentikan kenaikan tarif air Pulau Pinang tetapi ia lebih elok dilakukan sendiri oleh kerajaan DAP.

“Ini kerana cadangan itu dikemuka oleh mereka dan perkara tersebut diakui Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa bahawa pihaknya telah memohon kepada SPAN pada tahun 2019 untuk kaji semula tarif air,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Lim Swee Bok menegaskan, dalam tempoh 10 tahun pemerintahan kerajaan DAP sudah empat kali tarif air dinaikkan.

“Pada tahun 2019, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan tarif air akan meningkat lebih dari 20 peratus namun kenaikan kali ini tidak sama dengan kenyataan yang disampaikan.

“Peningkatan melebihi 100 peratus menunjukkan kerajaan negeri menipu rakyat, maka tidak hairanlah sebelum ini Kon Yeow mengatakan tidak ada jaminan bahawa tarif air di negeri ini akan tetap terendah di Malaysia” kata Swee Bok lagi.

Kelmarin, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dan kerajaan negeri menegaskan tidak menetapkan masa semakan semula tarif air di Pulau Pinang kerana ia tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa, berkata permohonan bagi semakan tarif sudah dilakukan pihaknya pada 2019 bagi memenuhi syarat memperbaharui Lesen Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk beroperasi pada tahun 2020 hingga 2022.

Jelasnya, permohonan PBAPP pada 2019 juga sudah mematuhi arahan SPAN yang mewajibkan semua operator air di Malaysia menetapkan tarif berpatutan, sesuai dengan formula Mekanisme Penetapan Tarif SPAN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast