KKM menampal notis penutupan Pasar Awam Bukit Mertajam hari ini susulan tiga peniaganya positif Covid-19.

SEBERANG PERAI – Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup selama sembilan hari bermula hari ini susulan tiga peniaganya disahkan positif Covid-19.

Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud berkata, penutupan pasar itu dibuat bagi membolehkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah melakukan ujian saringan dan pengesanan kontak rapat susulan peniaga positif Covid-19.

Rozali.

Jelas beliau, kerja-kerja sanitasi juga akan dilakukan dalam tempoh penutupan pasar awam tersebut.

“Selain itu, kita minta mana-mana peniaga yang dikenal pasti sebagai kontak rapat untuk menjalani ujian saringan dengan segera atau menghubungi Bilik Gerakan PKD Seberang Perai Tengah di talian 04 539 7884 untuk mendapatkan janji temu.

“Kita juga benarkan peniaga melakukan ujian saringan di klinik swasta dan keputusan ujian perlu dimaklumkan kepada MBSP untuk tujuan rekod dan perancangan selanjutnya.

“Sehubungan itu, para peniaga diingatkan agar tidak beroperasi sehingga 8 Jun ini serta perlu mematuhi arahan penutupan pasar yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rozali turut mengingatkan peniaga yang diarah untuk menghadiri ujian saringan Covid-19.

“Kita menyeru peniaga yang dikenal pasti tampil secara sukarela dan sekiranya gagal berbuat demikian, operasi mengesan mereka akan dilakukan dengan bantuan pasukan keselamatan.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap mereka yang ingkar,” ujar Rozali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast