PASIR MAS – Kerajaan Pas Kelantan tidak boleh lepas tangan dengan tidak menjaga kebajikan kira-kira 400 peniaga kecil di Pasar Tasik Raja, di sini, selepas diarah tutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Parti Bumiputera Perkasa (Putra) Bahagian Pasir Mas, Ir. Suharto Mat Nasir kesal dengan sikap tidak prihatin kerajaan negeri itu, yang mana kesemua peniaga kecil itu terjejas mata pencarian untuk menyara keluarga.
“Kita tahu penutupan pasar itu dibuat setelah terdapat jangkitan virus Covid-19 di kalangan peniaga dan pengunjung, tetapi sekurang-kurangnya berilah bantuan untuk meringankan beban mereka.
“Peniaga ini bukan sahaja tidak boleh mencari sumber pendapatan dan tidak menerima sebarang bantuan asas, malah berdepan pula dengan tekanan perlu membayar sewa kedai.
“Agak mendukacitakan, peniaga kecil ini diminta supaya memohon dengan pihak tertentu sekiranya memerlukan bantuan asas, sedangkan nama mereka sepatutnya sudah tersedia ada dalam senarai penerima,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau menyeru kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) mengecualikan sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan sewa kedai supaya keperitan hidup peniaga berkenaan dapat dikurangkan.
Kata beliau, sepatutnya setiap bantuan asas seperti makanan dan kewangan disalurkan secara automatik kepada peniaga terbabit, kerana PBT sudah tentu mempunyai semua senarai yang menyewa kedai di Pasar Tasik Raja itu.
“Kenapa perlu menyusahkan peniaga dengan perkara remeh? PBT perlu tahu peniaga ini mengalami kemerosotan jualan yang teruk walau pun pasar tersebut dibuka sepanjang Ramadan.
“Malah, peniaga juga mendakwa tidak menerima Insentif Tunai Peniaga dan Penjaja seperti yang dimumkan Menteri Besar Kelantan pada Februari lalu, ketika PKP 2.0 dikuatkuasakan.
“Kalau ada yang terima pun hanya beberapa peniaga sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ir. Suharto mengesa kerajaan Pas Kelantan tidak terlalu berkira dengan rakyat yang sedang mengalami kesusahan dan jangan pilih kasih bulu dalam pemberian bantuan.
“Kita tahu, kerajaan Kelantan bukan tidak ada wang atau tidak mampu membantu rakyat. Kalau tidak ada wang sekali pun, sebagai sebuah kerajaan perlu berhutang untuk membantu rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, oleh kerajaan esok bermula PKP penuh selama dua minggu, kerajaan negeri digesa supaya mengumumkan pakej bantuan dan rangsangan yang berpatutan serta munasabah untuk rakyat. – MalaysiaGazette