SUNGAI PETANI – Lima individu dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul pada majlis kesyukuran sambut kelahiran cucu di kediaman mereka di Kampung 11 Sungai Lalang, Bedong di sini semalam.
Bertindak atas aduan sepasukan polis Pemantauan Ops Covid-19 menyerbu kediaman terbabit pada jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil serbuan mendapati lima individu terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan berada di lokasi.
Jelasnya, lima individu yang berada di lokasi tersebut terdiri daripada tiga tuan rumah serta dua tetamu.
“Hasil siasatan mendapati mereka yang berusia 19 hingga 61 tahun itu melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menganjurkan majlis kesyukuran menyambut kelahiran cucu tuan rumah tersebut.
“Ketika serbuan dilakukan kesemua mereka sedang berkumpul tanpa memakai pelitup muka serta tidak mematuhi penjarakan sosial.
“Sebanyak lima kompaun membabitkan nilai RM20,000 dikeluarkan pihak polis atas kesalahan melanggar SOP PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Adzli menasihatkan masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bertindak melanggar SOP ditetapkan kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19,” ujar nya. – MalaysiaGazette
Ya Allah ya Tuhan ku.. apa lagi nak cakap ni?