LONDON – Penyerang legenda Manchester City, Sergio Aguero menyertai Barcelona selepas kontraknya tamat di Stadium Etihad.

Bintang Argentina itu dilaporkan sudah bersetuju dan menandatangani kontrak selama dua tahun bersama the Catalans untuk berpindah Nou Camp.

Barcelona pada Isnin secara rasmi memperkenalkan pemain itu dengan berbaju jersi kelab itu.

Pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan skuad kendalian Pep Guardiola selepas 10 tahun di Manchester.

Aguero juga berjaya memahat nama sebagai pemain sepanjang zaman kelab itu dengan menjaringkan 260 gol dalam 390 perlawanan bersama the Citizens.

Penampilan terakhir Aguero adalah dimasukkan sebagai pemain gantian dalam aksi kalah dalam final Liga Juara-Juara Eropah menentang Chelsea Ahad lalu.

“Kita semua tahu Barcelona adalah kelab terbaik di dunia. Saya rasa saya telah membuat keputusan yang terbaik untuk berada di sini (Nou Camp) dan sudah pasti ia satu langkah ke hadapan menuju kejayaan dalam hidup saya.

“Saya sangat gembira dan harap dapat membantu kelab ini memenangi seberapa banyak piala yang mampu,” katanya.

Aguero akan memiliki klausa pelepasan berjumlah £86 juta di Nou Camp.

Sepanjang sedekad bersama Man City Aguero telah menjulang 15 piala.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast