KUALA LUMPUR – “Sudah empat jam menunggu, satu penumpang tiada hari ini.”
Itu luahan pemandu teksi yang kecewa pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh Fasa 1 yang bermula hari ini.
Situasi itu jelas menunjukkan berlaku pengurangan mendadak penggunaan pengangkutan awam di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurut Bala Shanmugam, 79, yang telah memandu teksi hampir 17 tahun berkata, total lockdown kali ini sekali memberi dugaan kepada pemandu teksi sepertinya untuk mencari nafkah.
“Saya telah berada di sini sejak jam 9.30 pagi lagi sampai sekarang satu penumpang tiada, sudah empat jam. Kita orang cari makan tetapi perlu sabar sedikit.
“Sejak ekonomi boleh beroperasi, semuanya okay boleh jalan hari-hari, semalam saya boleh dapat dalam RM110 tetapi hari ini RM10 sahaja,” katanya ketika ditemui hari ini.
Manakala M.Manikam, 64, walaupun baru hari pertama pelaksanaan PKP Penuh Fasa 1, dia telah mula merasai sumber pendapatannya akan terjejas sepanjang tempoh dua minggu ini.
“Sekarang ini, nak berjalan hari-hari makin susah, kadang-kadang dapat RM30 hingga RM50 sehari, isi gas RM40, makan RM10 macam mana kami mahu bagi anak bini?
“Saya pun duduk rumah sewa dan nak minta tolong syarikat pun susah nak bayarkan sewa.
“Pagi tadi saya dapat RM20 sahaja pergi Damansara, isi gas RM15 dan maka RM5. Bayangkan balik rumah kosong macam mana nak bayar rumah sewa kalau hari-hari macam ini. Kita minta kerajaan bantu pemandu teksi sebab bantuan one-off sahaja tidak mencukupi,” ujarnya.
Sementara itu, pemandu teksi yang perlu menyara tiga orang anak, Abdul Halim Mohd Zain, 39, akur dengan dugaan buat kali kedua ini selepas pengumuman PKP Penuh Fasa 1.
Ujarnya, kepatuhan pada prosedur operasi standard lebih penting bagi melandaikan jangkitan pandemik Covid-19 agar ekonomi dapat kembali berjalan seperti sediakala.
“Ikutkan pendapatan memang terjejas sedikit dari semua segi, pemandu teksi memang terjejas teruk, kalau tidak ada penumpang memang kami tidak boleh buat apa, hanya tunggu dan cari apa yang ada sehingga perkara ini berterusan atau tamat.
“Saya harap pada rakyat Malaysia tolong patuh saranan kerajaan, ikut SOP dengan duduk rumah dan keluar hanya untuk mencari barangan keperluan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata pemandu teksi juga menzahirkan ucapan terima kasih pada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas keprihatinan kerajaan dalam memberikan bantuan one-off kepada mereka yang terkesan.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) susulan PKP Penuh Fasa 1 bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.
Sebanyak RM68 juta diperuntukan untuk mereka yang bekerja dalam industri pelancongan dan pengangkutan dengan pemberian bantuan kewangan secara one-off bernilai RM500.
Bantuan itu akan diberikan kepada 17,000 pemandu pelancong dan lebih 100,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas pelancongan, kereta sewa dan e-hailing yang akan disalurkan pada Julai ini kepada inidvidu yang berdaftar. – MalaysiaGazette