Former Prime Minister, Datuk Seri Najib Tun Razak arrives at the Kuala Lumpur Courts Complex for his 1Malaysia Development Berhad (1MDB) corruption trial. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 27 MAY 2021. misappropriation of RM2.28 billion 1MDB
Najib dijangka hadir di Balai Polis Dang Wang jam 11 pagi untuk membuat laporan.- Gambar hiasan,

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan lagi perbicaraan Datuk Seri Najib Razak berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) RM2.28 bilion berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula semalam.

Prosiding dijangka bersambung pada 21 Jun ini dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Timbalan Pendakwa Raya, Akram Gharib berkata, prosiding sepatutnya bersambung semalam namun berikutan PKP, mahkamah terpaksa menangguhkan perbicaraan.

“Perbicaraan akan bersambung 21 Jun nanti,” katanya ringkas.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini telah mengarahkan pengendalian kes-kes, antaranya semua perbicaraan dan pendengaran kes sivil dan jenayah ditetapkan secara kehadiran fizikal hendaklah ditangguhkan sehingga tamat PKP.

Bekas Perdana Menteri keenam itu ketika ini sedang berhadapan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Seandainya prosiding berjalan seperti biasa, peguam bela, Wan Aizuddin Wan Muhammed dijadualkan meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10 Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Minggu lepas, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memohon untuk menangguhkan prosiding setelah dirinya mendapat cuti sakit sakit selama tujuh hari selepas menjalankan pembedahan mata dua minggu lepas. -MalaysiaGazette