KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa khas dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta Menteri Dalam Negeri ditubuhkan bagi menyelaras misi kemanusiaan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) ke Palestin.

Justeru, setiap NGO perlu membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebelum dibenarkan meneruskan misi ke Palestin.

Dalam satu kenyataan bersama Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein memaklumkan jawatankuasa khas berkenaan perlu membuat semakan latar belakang NGO-NGO yang ingin melaksanakan misi bantuan ke Palestin sebelum dibenar membuat permohonan.

Ianya juga perlu mengkordinasi semua NGO di bawah satu prosedur operasi standard (SOP) permohonan yang sama.

Jawatankuasa khas berkenaan, bertanggung jawab untuk memudahkan permohonan NGO sekiranya mereka memenuhi SOP yang telah ditetapkan.

Jelas kenyataan itu lagi, Kementerian Luar hanya boleh membantu memudahkan perjalanan NGO-NGO ke Palestin apabila permohonan mereka diluluskan.

Kementerian Luar juga akan menumpukan koordinasi dengan semua negara terlibat supaya NGO-NGO yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ini mematuhi setiap SOP serta peraturan yang ditetapkan negara-negara tuan rumah.

Buat masa ini, Kementerian Luar Negeri menasihatkan NGO-NGO ini agar melakukan perjalanan ke Palestin hanya melalui dua negara, iaitu Mesir dan Jordan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast