KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi jaminan bekalan barang keperluan asas untuk penduduk Pangsapuri Sri Penara dan Apartmen Landak Permai yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 28 Mei lalu akan dipercepatkan.
Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh memberi jaminan itu selepas penduduk Pangsapuri Sri Penara di Bandar Sri Permaisuri mendakwa mereka kehabisan stok barang keperluan.
Katanya, semua agensi di bawah kerajaan pusat bekerjasama rapat untuk memastikan segala permasalahan di kawasan PKPD ditangani sepanjang tempoh berkenaan sehingga 8 Jun ini.
“Sebarang masalah atau isu berbangkit kita (JKM) bertindak pantas dan menyelesaikannya secara dalaman untuk memastikan mangsa PKPD tidak berdepan sebarang masalah serius,” katanya dalam sidang media selepas hadir meninjau pengaturan barang keperluan makanan penduduk Sri Penara di Cheras di sini.
Turut hadir meninjau keadaan adalah Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.
Tinjauan mendapati kawalan ke atas 7,000 penduduk Block C dan D Pangsapuri Seri Penara Bandar Sri Permaisuri di sini sangat ketat.
Pusat kawalan dan pengurusan bantuan dan pusat operasi PKPD didirikan di dalam Pintu 2, pangsapuri berkenaan pada jarak 100 meter dari blok C dan D yang ditutup dengan kawat duri Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Che Samsuzuki berkata, setiap bekalan makanan keperluan asas yang disalurkan untuk penduduk PKPD di lokaliti itu diagihkan mengikut prosedur operasi standard yang sedia ada dan perlu menerusi JKM dengan kerjasama PDRM dan juga persatuan penduduk perumahan itu.
“Saya cuma memohon kerjasama penduduk yang sedang menjalani PKPD supaya sabar dan menyalurkan sebarang permasalahan serta rasa tidak puas hati dengan saluran yang betul untuk memudahkan JKM bertindak pantas mengenalpasti masalah dan mencari jalan menanganinya.
“Bukannya memilih media sosial menyalurkan maklumat tidak tepat, kita bertugas 24 jam sehari di lokasi dan tidak akan melewatkan permintaan anda dan akan menyempurnakan keperluan sebaik mungkin tanpa kesulitan,” tegasnya.- MalaysiaGazette