KUALA LUMPUR – Penyerang sensasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman berpeluang membuktikan reputasi dirinya di pentas antarabangsa apabila dia dipilih mewakili skuad kebangsaan Liberia dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Mauritania dan Libya di Tunisia bulan ini.
Berita gembira itu dikongsi laman media rasmi KDA FC di sini hari ini.
Laman itu menyifatkan pemilihan Sherman mewakili negaranya sebagai satu kebanggaan untuk skuad Hijau Kuning.
Pada musim ini, Sherman menjadi pemain keempat yang dipilih menyertai skuad negara masing-masing selepas Rabih Ataya yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan Lubnan, M Anumanthan (Singapura) dan Rizal Ghazali (Malaysia).
“Tahniah diucapkan kepada penjaring terbanyak pasukan pasukan KDA FC ketika ini, Kpah Sherman yang mendapat panggilan skuad kebangsaan Liberia untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan.
“Pasukan kebangsaan Liberia akan mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Mauritania pada 11 Jun dan Libya pada 14 Jun ini yang akan berlangsung di Tunisia.
“Sherman akan pulang ke Liberia pada Isnin ini. Selamat maju jaya diucapkan Pulun Sherman Pulun!!,” katanya.
Sherman yang memiliki pengalaman sembilan kali bersama skuad kebangsaan Liberia sejak 2014 dan kali terakhir mewakili skuad itu pada 2019. – MalaysiaGazette