KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan berlaku kesesakan sejauh tiga kilometer di Plaza Tol Jalan Duta sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh kerana orang ramai mahu pulang pulang ke kampung.
Sebaliknya kesesakan berpunca daripada pemeriksaan rapi anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) susulan penguatkuasaan perintah itu selama dua minggu bermula semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya mengesan video tular pada laman media sosial yang memaparkan kesesakan di laluan masuk ke pusat bandaraya di plaza tol itu.
“Hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada 31 Mei 2021, jam lebih kurang 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang berpunca akibat pemeriksaan rapi yang telah dilakukan oleh pihak polis bagi memastikan orang awam mengikuti SOP yang telah ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati kenderaan–kenderaan tersebut mempunyai surat kebenaran merentas negeri dan selain itu, kesesakan tersebut juga disebabkan orang ramai keluar membuat pelbagai urusan penting sebelum bermulanya PKP penuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, JSPT KL melakukan pemeriksaan ke atas 4,536 kenderaan pada waktu tersebut.
Menurut Zulkefly, pihaknya akan terus membuat pemeriksaan secara terperinci bagi memastikan tiada pelanggaran SOP berlaku.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai Polis berhampiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette