Kapal peswat tentera China yang dipintas pesawat TUDM setelah dikesan menceroboh dan mencabul kedaulatan ruang udara Maritim Malaysia dalam insiden semalam.

KUALA LUMPUR – Tidak kira serapat mana hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara China, Malaysia perlu lebih berani bersuara terhadap tindak tanduk  China yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara ini.

Prof Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow dari Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia berkata, isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia mengancam keselamatan penerbangan, mencabar kedaulatan negara, dan menjejaskan hubungan antarabangsa.

Kerajaan Malaysia tidak boleh hanya berdiam diri terhadap perkara ini, sebaliknya siasatan terperinci perlu dilakukan oleh pihak-pihak yang berkaitan khususnya oleh Kementerian Pertahanan.

”Sekiranya Malaysia hanya duduk diam terhadap perkara ini dibimbangi China akan menjadi lebih berani dan akan terus melakukan pencerobohan ke dalam kawasan milik Malaysia pada masa akan datang.

“Malah, sekiranya tiada tindakan serius dan tegas diambil terhadap perkara ini juga, ia akan menghantar satu isyarat yang salah kepada negara-negara lain untuk
melakukan jejak langkah yang sama seperti yang telah dilakukan oleh China,” katanya yang mengulas mengenai 16 pesawat China yang dilaporkan masuk ke ruang udara Malaysia baru-baru ini.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataannya semalam berkata, sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dikesan melakukan penerbangan mencurigakan di ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Sabah.

Ia dikesan di Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional, kata kata Panglima TUDM, kata Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan hari ini.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat- pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.

“Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar,” katanya menerusi kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast