Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bercakap di sidang media mengenai pengambil alihan sementara Hospital Pengajar Universiti (HPU) menjadi hospital COVID-19 ketika di Hopsital Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Tun Abdul Razak. Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang dilaksanakan pada Selasa lalu untuk mengelak kes baharu positif Covid-19 naik kepapada 13,000 sehari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, fasiliti kesihatan negara juga akan lumpuh sepenuhnya sekiranya PKP Penuh ini tidak dilaksanakan.

“Kita bentangkan pelan kontigensi dan pengurusan Covid-19 sejak awal Mei lagi apabila kadar kebolehjangkitan atau Rt mula meningkat sekitar 1.1 hingga 1.2.

“Oleh itu, kita cadangkan kerajaan untuk umum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 12 Mei lalu bagi mengawal penularan jangkitan yang berpunca daripada 60 peratus kes sporadik dan 40 peratus kes berkaitan kluster.

“Kemudian pada 25 Mei, kita putuskan PKP dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan selepas melihat nilai Rt mengikut unjuran model kes sudah melepas 1.2 dan semakin meningkat.

“Selain itu, kita berdepan kebimbangan peningkatan penularan jangkitan yang berpunca daripada pelbagai varian baharu, iaitu Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria,” katanya dalam sidang media mengumumkan penubuhan PPV IPT Mobile dan Drive-Thru di HPU kelolaan KPT selain pengambil alihan sementara Hospital Pengajar Universiti (HPU) menjadi hospital Covid-19 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Dr. Adham berkata perkara itu boleh berlaku memandangkan KKM mengunjurkan kes pada 29 Mei lalu yang mencatatkan 9,020 kes positif merupakan situasi terburuk pernah berlaku di negara ini.

Malah beliau berkata, negara kini berada pada tahap tiga keseriusan pandemik negara iaitu pada paras 8,000 hingga 13,000 kes sehari.

“Kategori ini di tahap ambang lumpuh tapi kalau tahap empat dengan melebihi 13,000 kes positif direkodkan ini sudah memasuki tahap lumpuh, maka kita kena cegah sebelum ia berlaku,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya kes masih mencecah 8,000 sehari maka bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal akan bertambah dan sistem perkhidmatan akan lumpuh menjelang 5 Jun depan.

“Kalau kerajaan tidak mengambil apa-apa langkah pada Selasa lalu maka fasiliti kesihatan negara akan lumpuh sepenuhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette