Gambar Hiasan. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 JUN 2021.

SEMENYIH- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menambah baik proses kemasukan banduan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengurangkan penularan kes Covid-19 dalam kalangan penghuni penjara dan depot tahanan imigresen di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sudah  memastikan semua banduan dan PATI yang ditahan dan dibawa ke depot menjalani pemeriksaan ketat terlebih dahulu sebelum diletakkan di pusat tahanan sementara.

Katanya, kementerian sedang mengkaji bagaimana cara untuk memastikan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan keputusan ujian RTK-antigen dalam tempoh masa singkat 15 hingga 20 minit.

“Tindakan ini sangat penting untuk memastikan kita dapat mengawal jumlah kes positif Covid-19 dalam pusat tahanan PATI, sebagai contoh hari ini dilaporkan ada sembilan individu positif sementara menunggu keputusan ujian dilakukan.

“Jika ada di antara mereka yang didapati positif lebih awal, kami dapat mengasingkan mereka di blok sementara sebelum ditempatkan di pusat kuarantin dalam depot ini,” kata beliau dalam sidang media selepas meninjau Depot Tahanan Imigresen Sementara Millennium di Beranang.

Depot Imigresen Sementara Millenium Beranang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 JUN 2021.

Dalam perkembangan sama, Hamzah menambah, pihaknya juga sedang meneliti perancangan menambah baik fasiliti pusat tahanan imigresen.

Menurutnya, antara usaha penambahbaikan yang dirancang adalah bangunan-bangunan ditambah dengan kawat berduri bagi mengelakkan tahanan meloloskan diri menggunakan lubang-lubang kecil yang ada.

“Pada masa sama, kita juga sedang mempertimbangkan untuk menambah jumlah pusat tahanan sementara seluruh negara.

“Sebelum ini, kerajaan merancang untuk mewujudkan sebanyak 11 pusat tahanan sementara, namun hanya enam sahaja yang sudah beroperasi.

“Oleh itu kita mahu menambah selebihnya secepat mungkin,” katanya.

Menuurt beliau, penubuhan pusat tahanan sementara di seluruh negara sangat berhasil kerana ia membantu kerajaan mengurangkan kes penularan positif Covid-19 di penjara dan depot imigresen.

“Hanya ada 48 individu sahaja yang disahkan positif Covid-19 di semua penjara di seluruh negara manakala di depot tahanan imigresen pula ada30 individu sahaja disahkan positif, manakala 100 individu diletakkan sebagai PUI (Individu Dalam Siasatan) di penjara dan depot imigresen,” tambahnya-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast