KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menawarkan kelonggaran pembayaran cukai dan penalti khusus untuk pembayar cukai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Kelonggaran itu bertujuan untuk meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai mereka.
Katanya, penangguhan pembayaran penalti adalah yang berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022 dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang kena dibayar.
“Penalti-penalti yang termaktub dalam tawaran ini ialah penalti yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.
“Pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pertimbangan penyemakan semula penalti yang dikenakan sekiranya pembayar cukai mempunyai alasan yang kukuh. Pembayar cukai dikehendaki membuat rayuan ke atas penalti yang dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes,” demikian menurut kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, kelonggaran tersebut hanya terpakai kepada pembayar cukai yang terjejas pendapatannya akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.
Pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkuatkuasa, katanya.
Menurut LHDNM lagi, pembayar cukai yang berhasrat untuk memohon kelonggaran tersebut disyorkan untuk menghubungi pejabat cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka.
“Selain itu, LHDNM telah menyediakan Soalan Lazim Berkaitan Urusan Percukaian Dalam Tempoh PKP 3.0 (Frequently Asked Questions – FAQ) berkaitan perkara ini selain menyentuh isu-isu penghantaran borang nyata cukai pendapatan dan pembayaran cukai pendapatan dalam tempoh PKP 3.0,” katanya.
FAQ tersebut boleh dicapai melalui pautan berikut: Versi Bahasa Melayu: http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf Versi Bahasa Inggeris: http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.pdf.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDNM melalui: Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara) atau HASiL Live Chat; dan borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. – MalaysiaGazette