KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad telah menzahirkan keluhan rakyat ekoran penularan wabak Covid-19 kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melalui sepucuk surat Isnin lalu.
Surat itu ditulis atas keprihatinannya dan memohon agar Agong masuk campur mengenai perkara itu.
Selain itu, katanya, rakyat juga mendesak mahu institusi diraja campur tangan dalam isu pandemik ini memandangkan keadaan semakin membimbangkan.
“Saya sendiri sudah tulis surat peribadi pada Agong untuk baginda campur tangan dalam selesaikan masalah rakyat.
”Itu pun belum dapat apa-apa jawapan dari istana,” katanya dalam sidang media menerusi aplikasi Zoom selepas mengadakan mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat Penaja Pejuang.
Beliau menegaskan, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh campur tangan berhubung kegagalan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.
“Kita percaya bahawa Raja adalah pelindung dan payung kepada rakyat. Jadi, apabila rakyat kecewa sebab mereka tidak mendapat perhatian daripada kerajaan, mereka mengharapkan Agong untuk menyelesaikan masalah mereka.
“Kalau bukan Agong dan kerajaan, siapa lagi (untuk rakyat mengharapkan bantuan)?, soal beliau lagi.
Mahathir sebelum ini menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal mengekang penularan Covid-19 selepas membelanjakan sebanyak RM600 bilion.
Peningkatan kes harian kes Covid-19 juga jelas menunjukkan pelaksanaan darurat tidak berjaya mengurangkan penularan Covid-19.
Dalam pada itu, Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu juga berkata parti baharunya itu masih belum dapat didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Tegas beliau, Pejuang sudah memenuhi segala permintaan jabatan itu dan berhak untuk diluluskan.
“Inilah dikatakan abuse of power (salah guna kuasa) kerana mereka berhak dan boleh daftarkan parti kami.
“Tapi kalau tak bagi kami daftar bermakna PRU ini lebih dari berat sebelah, kerajaan saja boleh bertanding, orang lain tak boleh.
“Kalau ya pun kerana tak nak ada parti lawan dalam PRU supaya parti kerajaan boleh menang, beritahu pada kita,” katanya.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 23 Jun ini bagi keputusan permohonan Pejuang untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.
Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan Pejuang selaku pemohon dan pihak kerajaan sebagai responden pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Pejuang selaku pemohon manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Menteri Dalam Negeri (responden pertama) dan RoS (responden kedua). – MalaysiaGazette