Pihak polis melakukan pemeriksaan pematuhan SOP di kilang pemprosesan makanan haiwan di Mak Mandin, Butterworth di sini hari ini.

BUTTERWORTH – Sebanyak 16 kompaun berjumlah RM41,000 dikeluarkan kepada pekerja serta pemilik dua buah kilang pemprosesan makanan haiwan di Mak Mandin di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam dua serbuan itu, seramai 14 pekerja kilang dikompaun RM1,500 setiap seorang selepas didapati gagal mengimbas kod QR MySejahtera.

Jelasnya, majikan dua kilang tersebut turut dikompaun masing-masing sebanyak RM10,000 kerana gagal memastikan pekerja mematuhi SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19.

Pihak polis melakukan pemeriksaan pematuhan SOP di sebuah kilang pemprosesan makanan haiwan di Mak Mandin, Butterworth di sini hari ini.

“Menerusi operasi pertama, seramai lapan pekerja didapati tidak imbas kod QR MySejatera atau buku log pendaftaran.

“Bagi serbuan kedua pula, enam pekerja didapati tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika memasuki premis untuk memulakan kerja,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya meletakkan penghadang konkrit di tiga laluan tikus di daerah itu bagi menghalang cubaan orang ramai merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran.

Pihak polis dan JKR meletakkan penghadang konkrit di tiga laluan tikus di daerah SPU hari ini.

Ia membabitkan lokasi di Kampung Terus, Sungai Dua yang bersempadan dengan daerah Seberang Perai Tengah.

Manakala dua lagi di sempadan negeri Kedah di Jalan Kampung Selamat ke Bagan Serai dan Jalan Pinang Tunggal ke Kulim. – MalaysiaGazette