Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan langkah kerajaan melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus kepada kereta tempatan dan import dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+).

Tegasnya, langkah itu lebih menguntungkan syarikat kereta dan bank-bank yang memberi pinjaman dan golongan kaya berbanding rakyat biasa.

Lagipun, kata bekas perdana menteri itu, tindakan tersebut memberi kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi masa terdepan.

Najin berkata, ia terbukti apabila syarikat-syarikat kereta serta bank mengumumkan keuntungan rekod tertinggi manakala nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai catat tahap 93.3% pada akhir tahun 2020 iaitu tahap paling tinggi dalam sejarah seperti diumum Bank Negara Malaysia (BNM).

Soalnya: ”Adakah KPI (indeks petunjuk utama) kerajaan PN (Perikatan Nasional) untuk lihat nisbah hutang rumah tangga cecah 100%?”.

Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata, pengecualian SST itu menggembirakan syarikat-syarikat insurans yang dapat lebih ramai pelanggan tanpa menurunkan satu sen pun harga insurans ketika kemalangan dan kes pencurian kereta jatuh mendadak akibat arahan duduk di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

Katanya, beliau pernah meminta kerajaan supaya memberi rebat kepada pelanggan tetapi tidak dihiraukan.

”Suruh orang duduk rumah tapi galak mereka keluar beli kereta, ya? Gitu ke?,” ujarnya sambil melahirkan kebimbangan nisbah hutang isi rumah kepada KDNK yang meningkat semula selepas PRU14 akan menambah tekanan kewangan bulanan ke atas isi rumah bagi tahun-tahun mendatang.

Jika hutang isi rumah sangat tinggi maka kurangnya lebihan wang untuk berbelanja, menyimpan atau melabur setiap bulan sebab kena bayar ansuran bank.

Situasi ini akan memberi impak negatif kepada ekonomi untuk tahun-tahun yang akan datang.

Menurut Najib, Kerajaan Pakatan Harapan pernah buat sebegini apabila memberi pengecualian cukai tiga bulan pada tahun 2018.

Akibatnya, ekonomi menjadi lebih lemah pada tahun 2019 sebab ramai isi rumah sudah kurang wang untuk berbelanja setelah menambah kepada hutang.

”Bagi saya, langkah pengecualian cukai jualan ini lebih menguntungkan syarikat kereta, bank-bank dan golongan kaya berbanding rakyat biasa. Golongan yang kaya akan menerima diskaun lebih besar untuk membeli kereta mewah.

”Lebih mahal kereta, lebih besar diskaun dan manfaat kepada orang kaya. Jika nak beri pengecualian, jangan beri secara pukal.

”Berilah kepada mereka yang tidak pernah membeli dan mendaftar kereta baru sejak 5 tahun lepas dan hanya beri untuk kereta-kereta bukan mewah.
Utamakanlah pengangkutan awam (sebab jalan sudah jam). Jangan galak rakyat untuk sering bertukar kereta dan menambah hutang kepada bank,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga akan rugi sebanyak RM5 bilion daripada pengecualian cukai jualan kereta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast