Peniaga yang memulakan perniagaan awal pagi berikutan kerajaan melaksaankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Para peniaga kecil di ibu negara terpaksa menerima hakikat hasil jualan makanan dan minuman mereka kini semakin merosot ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

Bagi peniaga nasi kerabu, Mohamad Shahberi Mohd Radzi, 39, pendapatan hariannya sejak minggu lalu mulai terjejas.

Mohamad Shahberi Mohd Radzi. Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2021.

“Pelanggan memang berkurang daripada sebelum ini dan pendapatan kami juga terjejas. Saya dan isteri terpaksa kurangkan kuantiti bahan-bahan, biasanya habis satu tong nasi sekarang hanya bawa setengah tong sahaja.

“Minggu ini, memang susah sikit nak dapat pelanggan kerana kenderaan pun berkurangan, saya pula tak buat penghantaran ke rumah dan hanya bergantung harap dengan pelanggan yang lalu lalang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bandar Sri Permaisuri hari ini.

Tambah Mohamad Shahberi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, dia mula mencari rezeki dengan berniaga nasi kerabu sejak penghujung tahun lalu selepas kehilangan pekerjaan.

“Sebelum ini, saya kerja pasang karpet tapi bila dah PKP kerja pun tiada. Sebab itu saya cuba mohon lesen untuk berniaga di sini,” ujarnya.

Noorsham Ketot. Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2021.

Manakala peniaga sushi, Noorsham Ketot, 58, bilangan pelanggan semakin berkurangan berbanding sebelum ini berikutan orang awam mengelak keluar dari rumah tanpa ada urusan penting.

Bagaimanapun beliau tetap bersyukur kerana peniaga kecil sepertinya masih diberi peluang berniaga sepanjang PKP Penuh sekarang.

“Memang pendapatan agak terjejas kerana pelanggan pun semakin berkurang, orang takut nak keluar rumah risau terkena jangkitan Covid-19.

“Tapi sebagai peniaga kena teruskan juga kerana banyak komitmen yang perlu ditanggung, sekurang-kurangnya kerajaan masih benarkan kami beroperasi jadi tidaklah begitu terbeban,” katanya.

Norhidayu Jelan. Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2021.

Sementara itu, peniaga nasi ayam berempah, Norhidayu Jelani, 32, pula berkata, dia terpaksa mengurangkan lebih daripada separuh kuantiti jualan makanan ketika ini ekoran ketiadaan pelanggan.

Rintih Norhidayu, barangan keperluan yang mengalami kenaikan harga turut memberi kesan terhadap perniagaannya.

“Perniagaan memang sangat slow berbeza dengan sebelum-sebelum ini kerana mahu capai 50 peratus jualan pun agak susah berbanding kebiasaan.

“Pelanggan kurang pun kerana kebanyakannya bekerja dari rumah dan pejabat pun banyak yang ditutup, jadi pilihan yang ada hanya dengan kurangkan kuantiti jualan,” katanya lagi.

Shafiq Rosiman .Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2021.

Senada dengan Norhidayu,  peniaga tauhu begedil, Shafiq Rosiman, 37, berkata, agak sukar untuk menghabiskan jualannya sebanyak 40 pek setiap hari berbanding sebelum ini.

“Ketika ini kami bukan terjejas separuh tapi lebih daripada itu kerana pelanggan hampir tiada tapi persaingan antara peniaga pula ramai.

“Sebelum ini, saya dan isteri boleh jual sehingga 80 pek tauhu begedil tapi sekarang nak jual separuh daripada jumlah itu pun memang susah kerana yang beli secara penghantaran ke rumah pun tidak ramai,” ujarnya.

Pada 28 Mei, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 sehingga 14 Jun depan. – MalaysiaGazette