ALOR SETAR – Kegiatan sindiket penipuan pelaburan matawang kripto yang berselindung di sebalik sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Gunung Tahan, Jalan Kuala Kedah di sini terbongkar apabila markasnya diserbu polis pada Ahad lalu.
Serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah pada jam 3 petang itu turut membawa kepada tangkapan sembilan lelaki termasuk ketuanya yang juga warga China.
MalaysiaGazette difahamkan, suspek utama itu kini sedang menerima rawatan di hospital susulan kaki kirinya patah akibat cuba melarikan diri dengan melompat dari tingkat satu kediaman terbabit ketika pihak polis melakukan serbuan.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dengan mengaut keuntungan RM500,000 hingga RM600,000 setiap bulan.
Jelas beliau, sindiket mensasarkan mangsa dari negara Asia dengan ‘mempromosikan’ tawaran pelaburan matawang kripto tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.
“Bagi meyakinkan mangsa (pelabur), sindiket akan mewujudkan satu grup menerusi WhatsApp kononya untuk menyalurkan informasi secara dua hala.
“Susulan itu, mereka akan memperdayakan mangsa membuat pelaburan di laman sesawang ‘Bittbay88.com’ sebelum terus menghilangkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai tangkapan, Mohd Roze berkata, lapan lelaki tempatan berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun itu merupakan pekerja sindiket.
Katanya, kesemua suspek itu dibayar gaji RM3,000 untuk mempromosikan serta memperdaya mangsa melakukan pelaburan.
Difahamkan, setiap seorang pekerja perlu menjerat 10 hingga 20 mangsa setiap bulan mengikut list nama yang diberikan oleh suspek warga China itu.
“Dalam serbuan itu juga, pihak polis merampas beberapa telefon bimbit, komputer riba serta peralatan yang digunakan untuk kegiatan penipuan tersebut.
“Semakan lanjut juga mendapati, dua lelaki tempatan yang ditahan itu dikehendaki polis berkaitan kes dadah dan Akta Imigresen,” ujar beliau.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, Mohd Roze menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada dalam melayari laman sesawang bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan. – MalaysiaGazette