Fitri Omar. Foto Facebook Kelantan United.

KUALA LUMPUR – “Sangat berat dugaan kali ini”.

Itu luahan pemain pertahanan Kelantan United FC, Fitri Omar apabila isterinya yang kini sedang hamil disahkan positif Covid-19.

Isterinya, Nursuriana Zulkifli disahkan positif selepas membuat ujian calitan pada Jumaat lalu dan kini sedang menjalani kuarantin sendiri di rumah.

Fitri bagaimanapun tidak dijangkiti dan kini menjaga isterinya sepenuh masa di rumah dalam tempoh kuarantin selain bersyukur anak-anaknya yang lain bukan kontak rapat dan sedang dijaga oleh ahli keluarga yang lain.

Apa yang merisaukan bekas pemain PJ City FC itu adalah keadaan isterinya yang sedang hamil tiga bulan dan mengharapkan semuanya akan kembali pulih sebelum dia kembali ke pasukan untuk kem latihan pusat.

“Ini pengalaman pertama yang cukup berat untuk saya sebab kalau sebelum ini, biasa kita tengok orang lain yang mengalami, sekarang diri sendiri yang kena.

“Isteri saya demam minggu lepas, jadi saya bawa dia pegi swab test dan selepas dua hari, doktor sahkan dia positif.

“Memang saya risau sangat sekarang lebih-lebih lagi fikir keadaan anak dalam kandungan, isteri nak makan pun tiada deria rasa langsung.

“Memang kesedaran yang cukup besar bila sudah kena macam ini, dan harap orang lain sama-sama la jaga diri, kita tak mahu wabak ini terkena dekat ahli keluarga kita, rasa sedih sangat”, katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia.

Jelasnya, Kelantan United dijangka akan memulakan latihan secara Camp Based Training pada 7 Jun ini dan mungkin dia akan dikecualikan terlebih dahulu sehingga tamat tempoh kuarantin.

Bercakap mengenai prestasinya, Fitri mengakui persaingan semakin hebat untuk mendapat tempat apatah lagi dengan pemain-pemain muda yang kian meningkat.

Namun, dia percaya prestasi Kelantan United akan bertambah baik untuk baki saingan liga ini melihat kepada kedudukan mereka yang kini di tangga kelima Liga Premier.

“Untuk prestasi pasukan bagi pusingan pertama boleh dikatakan bertambah baik, cuma untuk diri sendiri, saya perlu akui persaingan semakin sengit kerana sekarang kita sudah ada ramai pemain-pemain muda yang semakin hebat.

“Tetapi selagi ada kudrat, saya akan terus bekerja keras untuk pasukan kerana apa yang penting adalah minit permainan.

“Cuma sebelum saya kembali kepada pasukan, saya nak jaga isteri saya terlebih dahulu dan apabila semua sudah pulih dan selesai, mungkin saya akan masuk ke kem pada 12 Jun”, jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast